TOKYO – Jalan-jalan yang terurus dengan baik di Tokyo mungkin bukan tempat yang paling ketara untuk melakukannya, tetapi ‘pemburu sampah’ yang kompetitif pada bulan lalu menyaring ibu kota Jepun itu dalam kejohanan dunia mereka yang pertama.
Piala Dunia Spogomi menyaksikan 21 buah negara bersaing untuk mengumpul sampah paling banyak dalam had masa yang ditetapkan, menggeledah jalan-jalan untuk mencari plastik, puntung rokok dan sampah lain.
Pengasas Spogomi, Kenichi Mamitsuka, mula mengutip sampah semasa berlari pada waktu pagi dan menyedari bahawa menetapkan sasaran boleh mengubahnya menjadi aktiviti yang menyeronokkan.
Beliau menganjurkan pertandingan pertamanya 15 tahun lalu, mengambil gelaran spogomi daripada perkataan ‘sukan’ dan ‘gomi’ – bahasa Jepun untuk sampah.
Beliau berkata menyaksikan kejohanan dunia sulung acara itu adalah ‘seperti dalam mimpi’, tetapi beliau secara optimis percaya ia boleh berkembang menjadi lebih besar.
“Jika awda menubuhkan persatuan spogomi kebangsaan, cita-cita saya ialah ia boleh menjadi acara demonstrasi Olimpik,” katanya kepada AFP di hadapan sebahagian daripada hampir 550 kilogram (kg) sampah yang dikumpulkan oleh peserta.
Dilengkapi dengan sarung tangan, penyepit besi dan beg sampah plastik, setiap pasukan mengandungi tiga orang berkeliaran di kawasan pengumpulan seluas kira-kira lima kilometer persegi di daerah Shibuya yang sibuk di Tokyo.
Berlari, menyelongkar tong sampah sedia ada dan mengekori pasukan lain semuanya adalah dilarang, dengan setiap pasukan diikuti oleh seorang pengadil untuk menguatkuasakan peraturan.
Dianjurkan pada sesi pagi dan petang, mereka mempunyai 45 minit untuk mencari sampah dan 20 minit lagi untuk menyusunnya mengikut kategori.
Markah akan diberikan berdasarkan jumlah dan jenis, dengan sampah-sampah kecil seperti hujung rokok mendapat markah tinggi.
Petrya Williams dari Australia berkata bahawa pasukannya telah ‘menemui beberapa tempat hebat yang seperti peta harta karun’.
“Saya rasa kami sudah mendapat rentak untuk pusingan seterusnya, kami tahu di mana kami harus mencari,” katanya, sambil menunggu untuk menimbang jumlah kutipan mereka.
TABIAT YANG BAIK
Setiap pasukan perlu mendapatkan hak untuk mewakili negara mereka di Tokyo dengan memenangi pertandingan kebangsaan.
Alasan untuk penyertaan mereka berbeza-beza. Jamie Gray dari Australia berkata pasukannya tergolong dalam kumpulan meditasi dan ‘pembersihan adalah sebahagian daripada falsafah kami’.
Pasukan Perancis tiba dengan sedikit kelebihan. Ketiga-tiga ahli kumpulan tersebut bekerja dalam industri pengutipan sampah.
“Kami mempunyai bakat untuk itu,” kata Usman Khan, 32 tahun.
Pada penghujung hari, pasukan Britain diisytiharkan sebagai pemenang selepas mengumpulkan 83kg sampah.
Philippe Louis de Froberville dari Afrika Selatan berkata, jalan raya Tokyo yang agak bersih menjadikannya ‘lebih sukar untuk mencari sampah berbanding dalam persaingan di tanah airnya’.
Tetapi beliau percaya pengumpulan kompetitif boleh ‘menjadi sangat besar’, dan berpendapat sekolah adalah tempat yang baik untuk bermula.
“Di situlah awda dapat memupuk masyarakat awda,” kata lelaki berusia 33 tahun dari Durban itu, yang berkata minatnya untuk meluncur dan cinta terhadap lautan membawanya terlibat dalam pengutipan sampah.
“Jika awda bermula ketika awda masih muda, awda akan mahu melakukannya apabila awda lebih tua dan awda akan mahu menjaga persekitaran awda.”
Pengasas Spogomi, Mamitsuka percaya bahawa mengubah cara orang berfikir tentang sampah adalah perkara utama.
Beliau mengatakan bahawa orang ramai pada mulanya menganggap beliau ‘membuat aktiviti menyeronokkan yang menyumbang kepada masyarakat’.
Tetapi kemudian beliau mula mendengar kisah-kisah tentang orang yang terlibat dan mewariskan tabiat yang baik ini kepada anak-anak mereka.
“Ini membuatkan saya berfikir bahawa saya perlu meneruskannya,” tambahnya.
“Sasaran kami ialah untuk mengadakan acara spogomi di 50 negara menjelang 2030.” – AFP