LABUAN, 1 Mei – Sejak diperkenalkan dua dekad lepas, Cabaran Sukan Laut Antarabangsa Labuan (LISC) masih relevan dan mampu menarik pelawat domestik dan antarabangsa ke pulau itu.
Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata acara sukan antarabangsa tahunan itu turut menyumbang kepada pendapatan pulau sejak 21 tahun lepas.
“LISC telah meningkatkan profil pulau ini dengan penyertaan tempatan dan antarabangsa dalam banyak daripada acara utamanya,” katanya semasa merasmikan penutupan LISC 2017 di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan di sini, malam tadi.
Beliau berkata dua acara utama LISC, Cabaran Kayak Mengelilingi Pulau Labuan dan Lumba Perahu telah disenaraikan dalam Buku Rekod Malaysia bagi jumlah peserta terbanyak.
“Kejohanan Memancing Antarabangsa Labuan juga popular dengan menarik penyertaan pemancing dari seluruh dunia … ia turut mendapat pengiktirafan pada 1999 apabila pendaftarannya diterima oleh Persatuan Sukan Memancing Antarabangsa (IGFA),” katanya.

Rozman yang juga pengerusi Perbadanan Labuan, berkata para penganjur, selain mempromosikan LISC dalam kalendar acara Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), perlu memperkenalkan acara-acara baharu untuk menarik lebih banyak pengunjung.
Pada penganjuran LISC tahun ini, dua acara utama diperkenalkan – Lumba Perahu Penumpang dan Pertandingan Silat Pantai, manakala Ekspedisi Parahu Larai yang juga julung kalinya diadakan, mendapat sambutan menggalakkan.
“Tidak sepertimana industri minyak dan gas yang bergantung kepada sumber asli, industri pelancongan hanya perlukan promosi produk kreatif dan perkhidmatan berkualiti, dengan itu, kita semua perlu bekerjasama untuk membangunkannya,” katanya. – Bernama