Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Sukan memanah merupakan salah satu sukan yang telah menyambung semula aktiviti latihan berdasarkan protokol kesihatan dan keselamatan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Sukan tersebut telah kembali semasa peringkat permulaan pelan de-escalation tetapi dengan kapasiti dan kehadiran yang terhad berikutan penggantungan kemudahan sukan akibat pandemik COVID-19.
Namun, sukan tersebut kini dibenarkan untuk beroperasi pada kapasiti 90 peratus dengan peserta kini dibenarkan untuk bermain tanpa sebarang pengehadan masa sebagai langkah pengurangan sekatan kemudahan sukan luar dan tertutup bermula esok (27 Julai).
Peserta sukan memanah kini telah memulakan sesi latihan di padang memanah sejak kelmarin.
Ahli-ahli dari Kelab Memanah Setia Bersatu berkata mereka telah menjalani latihan pada jarak 30 meter untuk peserta memanah membiasakan semula ketepatan sasaran.

Peserta memanah akan secara perlahan beralih kepada jarak 70 meter standard sebaik sahaja mendapat rentak dan ketepatan mereka semula.
Sesi latihan akan dipecahkan kepada dua kumpulan dengan kebolehan dan kemahiran pada tahap tertentu yang akan berlatih pada jarak 10 meter dari sasaran.
Menurut salah seorang ahli kelab tersebut, masih belum ada sesi untuk mengajar dan aktiviti memanah luar adalah lebih diminati berbanding aktiviti memanah tertutup.
Semasa peringkat permulaan pelan de-escalation, kelab tersebut telah mengehadkan seramai 15 orang peserta sahaja sebelum ditingkatkan kepada 30 orang selepas diumumkan.
Sukan memanah boleh memuatkan bilangan pemanah tanpa jumlah yang terhad berikutan kajian semula yang telah dilakukan dalam fasa terkini pelan de-escalation. Latihan kini hanya dibukakan kepada pemanah yang mahir dalam sukan tersebut dan dianggap kompetitif terutama mereka yang beraksi dalam peringkat domestik dan antarabangsa.
Awal tahun ini, kelab memanah merancang untuk menghantar peserta memanah untuk menyertai kejohanan antarabangsa tetapi dibatalkan akibat penularan wabak COVID-19.
Sementara itu, kemudahan sukan tertutup dan padang-padang golf turut menunjukkan peningkatan dalam aktiviti sukan ketika negara sedang memasuki peringkat empat pelan de-escalation.