Thursday, July 4, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Sukan Olimpik akan jejas pendapatan Air France-KLM hingga AS$193 juta

    PARIS, 1 JULAI – Air France-KLM memberi amaran hari ini bahawa Sukan Olimpik akan membawa kepada penurunan pendapatan sehingga AS$193 juta, berikutan kemerosotan dalam perjalanan ke Paris sepanjang musim panas.

    Kumpulan syarikat penerbangan itu mengharapkan untuk merangsang imej jenama dan keuntungannya daripada Sukan tersebut, tetapi timbulnya kebimbangan Sukan itu mungkin menghalang pelancong lain daripada melawat Paris, yang merupakan destinasi pelancongan utama semasa musim panas.

    “Pasaran antarabangsa menunjukkan pelancong mengelak mengunjungi Paris,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

    “Perjalanan antara bandar dan destinasi lain juga berada di bawah purata Jun hingga Ogos ketika penduduk di Perancis nampaknya menangguhkan percutian mereka sehingga selepas Sukan Olimpik atau mempertimbangkan rancangan perjalanan alternatif,” tambahnya.

    Sementara persatuan perniagaan penerbangan Perancis, Fnam berkata ia tidak dapat mengesahkan pelancong akan mengelak Paris, kenyataan Air France-KLM adalah sejajar dengan data terkini dari pejabat pelancongan Paris.

    Syarikat itu baru-baru ini meramalkan penurunan 14.8 peratus dalam ketibaan pelawat asing pada Julai berbanding tahun lepas dan penurunan 16.4 peratus berbanding 2019.

    Sementara itu, penginapan hotel dalam 10 hari pertama bulan Julai mencecah 60 peratus, penurunan 10 mata peratusan berbanding tahun lepas.

    Kira-kira 15 juta pengunjung diramalkan menghadiri Sukan itu, termasuk dua juta dari luar negara, menurut Pusat Undang-undang dan Ekonomi Sukan, yang telah memantau Sukan Paris untuk penganjur IOC dan Paris 2024.

    Air France-KLM berkata ia tidak bercadang untuk mengurangkan kapasiti, meskipun anggaran kesan negatif ke atas pendapatannya untuk tempoh Jun hingga Ogos 2024. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ anjur pertandingan hapus kucing liar

    WELLINGTON, 3 JULAI – Pertandingan membunuh kucing liar yang diadakan secara tahunan di New Zealand dijangka diperluas tahun depan, kata penganjur acara hari ini,...