Sukan Para ASEAN ke-10 dibatalkan

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Brunei Darussalam tidak akan mengambil bahagian dalam Sukan Para ASEAN ke-10 di Manila, Filipina selepas Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) mengumumkan pembatalan acara berkenaan baru-baru ini.

Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) menarik balik wangnya yang diperuntukkan untuk sukan dan belanjawan itu akan disalurkan semula kepada usaha negara untuk memerangi pandemik koronavirus.

Pertandingan sukan terbesar di rantau itu untuk atlet kurang upaya dijadualkan diadakan dari 3 hingga 9 Oktober selepas dua penangguhan sebelumnya.

Presiden APSF, Osoth Bhavilai mengesahkan pembatalan dalam sepucuk surat kepada Jawatankuasa Paralimpik Negara Asia Tenggara.

“Berdasarkan keputusan Suruhan-jaya Sukan Filipina, saya dengan kesal memaklumkan bahawa Sukan Para ASEAN ke-10 dibatalkan secara rasminya,” menurut surat berkenaan.

Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina Michael Barredo meluahkan rasa kecewanya terhadap pembatalan itu.

Beliau berkata, “Penganjuran APG oleh Filipina tidak dapat dilakukan sekarang tanpa sokongan kerajaan.”

Sebelum pembatalan, satu keputusan muktamad sepatutnya diambil dalam satu mesyuarat, yang akan dihadiri oleh Lembaga Gabenor APSF pada akhir Julai untuk menilai situasi sebelum mengesahkan untuk meneruskan sukan itu. Brunei mengumpul dua pingat emas, enam pingat perak dan enam pingat gangsa semasa edisi sebelumnya di Kuala Lumpur, Malaysia pada 2017.

Pungutan dua emas negara dalam acara boling dan olahraga dimenangi oleh Kamarul Ariffin bin Haji Abdul Ghaffar dan Saidin bin Haji Damit menerusi acara beregu lelaki manakala Alihan Muda muncul juara dalam acara lempar cakera.

Acara boling Para masih merupakan satu acara yang kuat untuk Brunei apabila Kamarul Ariffin dan Saidin masing-masing memenangi pingat emas di Singapura dan Kuala Lumpur.

Prestasi terbaik Brunei di Sukan Para ASEAN diperoleh pada 2009 di Kuala Lumpur apabila mereka memenangi sembilan pingat emas, lima perak dan lapan gangsa.

Pada Disember lalu, para atlet kebangsaan menjalani latihan di gim stadium sebagai persediaan untuk sukan yang telah dibatalkan sekarang.

Pasukan boling Para negara juga telah mempertingkat prestasi mereka menerusi penyertaan mereka pada Jelajah Para Boling Dunia di Manila pada November lalu.