Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sukan ria isi aktiviti musim cuti

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 19 OGOS – Pastinya cuti sekolah menjadi antara saat yang dinantikan oleh golongan pelajar mahupun insan-insan bergelar guru atau pendidik dengan mengambil peluang untuk berehat bersama ahli keluarga selain melakukan aktiviti yang digemari bersama-sama.

    Namun dalam menikmati musim cuti persekolahan, para ibu bapa atau penjaga berperanan besar untuk menjalankan tanggungjawab dengan bijak dalam mengisi atau memanfaatkan masa lapang anak-anak dengan pelbagai perkara yang berfaedah.

    Sehubungan itu, bersempena musim cuti persekolahan penggal kedua tahun ini, warga penduduk Simpang 2, Jalan Paya Belambang dan Kawasan 4 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung (Kg) Bukit Beruang, Daerah Tutong telah mengadakan satu inisiatif proaktif menerusi acara sukan ria hari keluarga, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi sama-sama memeriahkan acara berkenaan ialah Penghulu Mukim Telisai, Haji Haslan bin Haji Shahbudin.

    Antara pengisian acara sukan ria yang bermula pada jam 4 petang bertempat di kawasan Simpang 2, Jalan Paya Belambang RPN Kg Bukit Beruang, Tutong, itu ialah perlawanan santai sukan bola jaring dan sepak takraw peringkat akhir.

    Secara keseluruhannya, enam pasukan telah bertanding bagi perlawanan bola jaring dengan menyaksikan kemenangan dirangkul oleh Pasukan Binjai dan Pasukan Tarap di tempat kedua.

    Manakala lima pasukan telah menyahut cabaran dalam perlawanan sepak takraw dengan keputusan juara disandang oleh Pasukan Durian Kura-Kura dan pemenang di tempat kedua diperolehi oleh Pasukan Durian Tarap.

    Warga penduduk Simpang 2, Jalan Paya Belambang, RPN Kg Bukit Beruang bergambar ramai semasa aktiviti berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda