Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 1 OGOS – Tujuh buah keluarga dari tujuh kampung di Daerah Belait meluangkan masa hujung minggu dengan menyertai siri pertandingan persahabatan sebagai sebahagian daripada Sukan Ria Mini yang diadakan di Kompleks Sukan Mumong.
Anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Cawangan Daerah Belait serta Pejabat Daerah Belait, pertandingan persahabatan itu diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77.
Antara permainan yang dipertandingkan secara berpasukan termasuklah melempar dadu untuk memajukan petak, memecahkan belon menggunakan damak, menangkap bola tenis menggunakan bakul, perlumbaan kura-kura berganti-ganti, perlumbaan tiga kaki, melambung bola, dan memukul sasaran menggunakan bola.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Ketua Kampung Kampung Bukit Sawat, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann hadir menyaksikan acara
sukan yang berlangsung serta menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pasukan yang menang.
Di samping itu, Pemangku Ketua JBS Cawangan Daerah Belait, Dayangku Hasmaranah binti Pengiran Hassan turut menyampaikan tanda penghargaan kepada Yang Berhormat Awang Mohammad bagi memperingati majlis itu.