Oleh Nurdiyanah R. –
Komuniti yang sihat sejahtera akan mewujudkan sebuah negara yang produktif serta melahirkan individu yang harmoni, tenang dan bersedia menempuhi cabaran secara positif.
Meskipun rutin harian yang sibuk dengan hal ehwal pekerjaan, persekolahan, perniagaan dan lain-lain tidak sepatutnya dijadikan sebagai suatu alasan tidak mengamalkan gaya hidup sihat namun segalanya terpulang kepada diri sendiri kerana ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.
Sehubungan itu, ke arah menyemai sikap sayang-menyayangi, bertanggungjawab, hormat-menghormati dan pemedulian dalam kalangan penduduk setempat, satu inisiatif Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong ‘B’ melalui jawatankuasa tertinggi berserta ahli-ahlinya telah menganjurkan acara Sukan Ria Keluarga sempena Hari Keluarga Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, pada hujung Mei lalu.
Acara yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan, Mukim Sengkurong itu bukan hanya melibatkan ahli-ahli Biro Wanita MPK Sengkurong ‘B’, bahkan juga ahli keluarga masing-masing.
Antara aktiviti semasa acara riadah berkenaan termasuk perlawanan membawa bola pingpong menggunakan sudu, cabaran meniup belon hingga pecah, memindah kacang tanah menggunakan alat penyepit, peraduan mewarna dan lain-lain.





Manakala acara kemuncak pula diserikan dengan peraduan menganyam ketupat bagi menilai sejauh manakah kemahiran, kekemasan dan kecepatan peserta dalam menganyam ketupat.
Semasa ditemui penulis, Pengerusi Biro Wanita MPK Sengkurong ‘B’, Hajah Rukiah binti Haji Mohammad Yassin berkata Biro Wanita MPK Sengkurong ‘B’ melalui inisiatif jawatankuasa tertinggi berserta ahli-ahlinya pada setiap tahun akan menjalankan beberapa aktiviti yang dirancang bersempena hari-hari kebesaran Islam mahu pun negara.
Adapun pelaksanaan acara sukan ria berkenaan juga bertujuan bagi mengukuhkan nilai teras kekeluargaan dalam konteks Negara Brunei Darussalam selaras dengan perancangan dan pengukuhan dasar sebagai landasan dalam rangka tindakan sosial dan pelan-pelan tindakan di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS).
“Acara ini secara tidak langsung dapat meningkatkan semangat kompetitif yang sihat dari segi mental dan fizikal dalam kalangan peserta baik dari peringkat kanak-kanak sehingga veteran.
“Dengan adanya aktiviti penuh bermakna sebegini, ia sememangnya suatu langkah yang amat baik dalam menerapkan amalan gaya hidup sihat dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Ia juga diharap dapat meningkatkan lagi nilai persefahaman dan persahabatan yang sudah lama terjalin bagaikan sebuah keluarga,” ujarnya.
Selain itu, menerusi riadah sedemikian ia akan dapat mengekalkan kesihatan dalaman dan luaran bagi membolehkan seseorang individu menjalani kehidupan harian dengan baik sekaligus mengukuhkan hubungan silaturahim kalangan penduduk setempat.
Oleh yang demikian, setiap insan seharusnya memberi keutamaan sepenuhnya dalam sama-sama menjaga kesihatan diri dan insan-insan sekeliling untuk mewujudkan kesejahteraan dan keseimbangan sesebuah komuniti.
“Menerusi acara yang dilaksanakan ini juga diharapkan mampu menjadi saluran asas dalam pembentukan sikap, nilai murni dan integriti individu dalam melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni dan dinamik,” tambahnya dan turut menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang setiap kategori permainan di akhir acara tersebut.









