Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Sukan Ria Riadah Siuk meriah

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB – Program Sukan Ria: Riadah Siuk telah berlangsung di Padang Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah kelmarin yang dianjurkan oleh mahasiswa dan mahasiswi Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah (Latihan dalam Perkhidmatan) KUPU SB, kelolaan Pusat Ilmu Teras di bawah Program Kursus Pengurusan Kokurikulum, Semester 2, 2022/2023M.

    Program tersebut merupakan sebahagian daripada tugasan wajib para mahasiswa dan mahasiswi yang mana mereka dikehendaki untuk mengelola, mengurus dan seterusnya melaksanakan sebuah program kokurikulum sebagai pendedahan awal terhadap tatacara pelaksanaan aktiviti yang serupa.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Pengetua Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Norhisyam bin Haji Mohammad Noor.

    Program dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada tetamu kehormat majlis yang seterusnya berkesudian merasmikan program tersebut.

    Acara kemudiannya diteruskan dengan sesi pemanasan badan dan bergambar ramai.

    Gambar ramai semasa program tersebut. – Gambar serahan KUPU SB

    Program Sukan Ria: Riadah Siuk ini telah melibatkan semua pelajar Sanah 7 Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan telah dibahagikan kepada empat buah rumah iaitu Rumah Kampilan (Merah), Rumah Changkah (Hitam), Rumah Keris Selit (Hijau), Rumah Pedang Tersula (Biru).

    Terdapat lima jenis aktiviti atau permainan telah diadakan, di antaranya Musang Berjanggut, Pindah Air ke dalam Botol, Mixed Relay, Pindah Kacang dan Karpet Aladin.

    Majlis penyampaian hadiah dan sijil kepada pemenang-pemenang aktiviti telah disempurnakan oleh Pensyarah KUPU SB, Mohammad Amirol bin Abdul Rahim di mana juara keseluruhan sukan ria berkenaan telah disandang oleh Rumah Pedang Tersula (biru).

    Di antara objektif Program Sukan Ria: Riadah Siuk itu ialah bagi mengoptimumkan keyakinan diri dan merealisasikan semangat persaingan sihat serta motivasi penuntut dalam menghadapi cabaran, bijak dan dedikasi melaksanakan strategi bernas menerusi aktiviti.

    Selain itu, ia jua dihasratkan bagi mengukuhkan semangat kerjasama, kesefahaman, sokongan moral dan sosial, serta kompromi hebat dalam kalangan jawatankuasa pengendali dan penuntut melalui persaingan bermanfaat, sekali gus membudayakan sikap kerja berpasukan yang luhur dan mantap.

    Melalui program tersebut, ia juga diharapkan dapat mempromosikan minda proaktif, berketerampilan melalui pengamalan gaya hidup yang sihat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...