Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sukan ria serikan Hari Keluarga

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Ke arah menyemai sifat sayang-menyayangi, bertanggungjawab, hormat-menghormati dan pemedulian dalam kalangan penduduk setempat, Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong B telah menganjurkan acara Sukan Ria Keluarga sempena Hari Keluarga Kebangsaan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada acara yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan, Mukim Sengkurong itu ialah Pengerusi Biro Wanita MPK Sengkurong B, Hajah Rukiah binti Haji Mohammad Yassin yang sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori permainan.

    Acara bukan hanya melibatkan ahli-ahli Biro Wanita MPK Sengkurong B, bahkan ahli keluarga masing-masing.

    Antara aktiviti permainan yang diadakan adalah perlawanan membawa bola pingpong menggunakan sudu, cabaran meniup belon hingga pecah, memindah kacang tanah menggunakan alat penyepit (chopstick), peraduan mewarna dan lain-lain.

    Manakala itu, acara kemuncak adalah peraduan menganyam ketupat iaitu bagi menilai sejauh mana kemahiran, kekemasan dan kecepatan peserta dalam menganyam ketupat.

    Hajah Rukiah memberitahu Media Permata bahawa Biro Wanita MPK Sengkurong B melalui inisiatif jawatankuasa tertinggi berserta ahli-ahlinya pada setiap tahun akan menjalankan beberapa aktiviti yang telah dirancang bersempena dengan hari-hari kebesaran Islam mahupun negara.

    Perlaksanaan acara sukan ria berkenaan juga bertujuan bagi mengukuhkan nilai teras kekeluargaan dalam konteks Negara Brunei Darussalam selaras dengan perancangan dan pengukuhan dasar sebagai landasan dalam rangka tindakan sosial dan pelan-pelan tindakan di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS).

    Hajah Rukiah semasa menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
    Cabaran meniup belon hingga pecah antara permainan yang dimuatkan semasa acara riadah tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda