Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Dalam usaha untuk meningkatkan kecerdasan jasmani dan minda, Sekolah Tunas Jaya (STJ) PGGMB Lambak mengadakan Sukan Ria 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Berakas, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri.
Turut hadir ialah Pengerusi Tetap PGGMB, Hajah Hanipah binti Haji Apong; Setiausaha Agung PGGMB, Yakub bin Haji Abd Rahman; Timbalan Setiausaha Agung PGGMB, Haji Yahya bin Haji Mirasan; Guru Besar STJ PGGMB Belait, Dayang Fazziah binti Kamis; Guru Besar Sekolah PGGMB Sungai Akar, Dayang Maswati Airin Patrah binti Ahmad; Guru Besar STJ Madang, Dayang Surayimah binti Kawi, guru-guru, para jemputan yang berkepentingan, ibu bapa dan penjaga murid dan murid-murid sekolah berkenaan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Guru Besar STJ PGGMB Lambak, Dayang Noriadah binti Abdullah menyatakan Sukan Ria itu bertujuan untuk meningkatkan kecerdasan jasmani dan rohani murid-murid supaya dapat menghayati pembelajaran dengan lebih baik dan berkualiti tinggi seperti kata pepatah, ‘Otak yang Cerdas Terletak pada Badan yang Sihat’.
Melalui acara sukan berkenaan juga, tambahnya, ia dapat mencungkil bakat dan potensi murid-murid dalam bidang sukan dan meningkatkan kerjasama serta komitmen dalam kalangan ibu bapa dan penjaga murid dengan pihak sekolah.
Atur cara Sukan Ria didahulukan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, nyanyian lagu kebangsaan dan lagu sekolah, jalan lalu perbarisan murid-murid, senamrobik, ramah mesra tetamu kehormat bersama murid-murid.
Acara diteruskan dengan sukan boling botol antara Haji Mustapa dan para jemputan, ibu bapa dan penjaga murid dan seterusnya penyampaian hadiah kepada murid-murid, ibu bapa dan penjaga murid yang berjaya dalam pertandingan yang disertai.