Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sukan SEA 2025: Skuad terkuat atau pelapis, BAM lebih arif – Kok Keong

    KUALA LUMPUR, 2 OKT – Legenda badminton Malaysia, Datuk Foo Kok Keong yakin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan membuat percaturan terbaik, sama ada untuk menghantar skuad terkuat atau skuad pelapis ke Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember ini.

    Beliau berkata, keputusan muktamad terletak di tangan badan induk sukan itu, sama ada lebih mengutamakan peluang meraih pingat emas atau memberi pendedahan awal kepada pemain muda.

    “Tanpa semangat juang dan semangat berpasukan, kami tidak akan mendapatkannya. Ia bergantung kepada BAM, sama ada mereka mahu bagi pengalaman kepada semua pemain pelapis atau jika mereka fikir mahu memenangi Sukan SEA , maka mereka perlu hantar pemain terbaik.

    “Ini adalah kerana sepanjang karier saya, saya tidak pernah menolak untuk bermain pada Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan kebanyakan acara berpasukan serta individu, saya hadapi banyak kejohanan ini yang kemudian ia dipanggil pengalaman juga,” katanya.

    Beliau berkata, demikian ketika ditemui pada majlis kerjasama Eco-shop dan Kelab Penyokong Sukan Famemas Malaysia yang akan menghantar skuad penyokong khas bagi memberi sorakan padu kepada kontinjen negara ke Sukan SEA 2025.

    Olimpian negara yang pernah menyumbang pingat emas pada Sukan SEA 1991 di Manila itu berkata apa jua keputusan akan diambil BAM seharusnya disambut dengan keputusan positif oleh pemain terpilih dalam misi mengharumkan nama negara.

    Sebelum ini, BAM mengesahkan akan menghantar barisan pemain terkuat ke temasya dwitahunan itu dalam usaha memburu lebih banyak pingat emas.

    Senarai akhir pemain dijangka diputuskan dalam masa terdekat menerusi mesyuarat bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan BAM, Rexy Mainaky. – Bernama

    Datuk Foo Kok Keong (kedua dari kiri) semasa sesi perkongsian selepas Majlis Menandatangani Surat Niat untuk Malaysia Power Eco-Shop x FAMEMAS di Arena Kuala Lumpur, pada 2 Oktober. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda