Wednesday, July 17, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Sukan SEA 2027: Sarawak sedia jadi hos bersama

    KUCHING, 23 JUN – Sarawak sedia menjadi hos bersama untuk penganjuran Sukan SEA 2027 dan mencadangkan agar acara perasmian temasya sukan itu, diadakan di Bumi Kenyalang.

    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak juga, bersedia untuk berkongsi kos penganjuran Sukan SEA 2027 bersama Kerajaan Persekutuan.

    “Kerajaan Persekutuan ada ‘merisik’ Sarawak untuk menjadi hos bersama (Sukan SEA 2027), kita dimaklumkan kos serta bajet penganjuran ini adalah besar dan apa yang dicadangkan agar Sarawak boleh membantu.

    “Kita (Sarawak) kata boleh (bersedia), tetapi upacara perasmian kita cadangkan untuk diadakan di Sarawak dan penutupan di Semenanjung,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Larian Baton Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 Bahagian Kuching di sini, hari ini.

    Untuk rekod, Malaysia pernah menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu sebanyak enam kali iaitu pada 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017, di mana kesemuanya berlangsung di Lembah Klang.

    Sementara itu, Abang Johari berkata anggaran kos penganjuran Sukan SEA 2027 adalah kira-kira RM750 juta dan Sarawak bersedia membiayai separuh daripada jumlah tersebut.

    “Kenapa kita sanggup? Kerana ini salah satu agenda untuk pembangunan bakat. Pembangunan bakat kita bukan hanya di bidang ekonomi semata-mata, tetapi juga di bidang sukan.

    “Kita mahu orang muda kita cergas, sebab itu saya berani jadi hos bersama,” katanya. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Nepal, India kerjasama cari mayat hilang tragedi bas hanyut

    KATHMANDU, 17 JULAI – Pihak berkuasa tempatan sedang berkerjasama dengan pegawai sempadan daerah India untuk mencari mayat dalam kemalangan Simaltal, di mana tanah runtuh...