Sukan SEA ke-30 labuh tirai

FILIPINA, 11 DIS – Para atlet dan pegawai dari negara-negara yang mengambil bahagian termasuk Brunei Darussalam menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi semasa majlis penutupan Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 yang diadakan di Stadium Athletic New Clark City di Capas, Tarlac, Filipina hari ini.

Bintang wusyu Brunei Darussalam Mohammad Adi Salihin bin Roslan, yang telah memenangi pingat emas dalam acara campuran nanquan dan nandao lelaki diberi penghormatan sebagai pembawa bendera negara semasa perarakan lalu kontinjen negara.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA (PHISGOC), Alan Peter Cayetano dalam ucapan berkata, “Kami sebagai orang Filipina telah menunjukkan kepada dunia bahawa kami boleh melakukannya. Kami melakukannya dengan kualiti kelas dunia, memecahkan banyak rekod dan sebagai Sukan SEA terbesar yang pernah ada dengan 56 sukan dan 530 acara.

“Ini juga merupakan Sukan SEA yang paling banyak ditonton dalam sejarah Sukan SEA. Kita meraikan hari ini sebagai juara keseluruhan tetapi kita juga meraikan semua atlet.”

Beliau menambah, “Kita meraikan dengan semua atlet yang menyertai. Semua atlet adalah pemenang. Kita meraikan sukan tetapi kita jua meraikan orang kita, budaya kita, seni dan nilai sebagai orang Asia Tenggara. Bila kita memburu emas, kita melakukannya dengan sepenuh hati tetapi kita tidak membenarkan kilauan emas membutakan kita.”

Majlis penyerahan bendera Sukan SEA kepada Vietnam selaku tuan rumah pada tahun 2021. – Gambar oleh Infofoto
Kontinjen Negara Brunei Darussalam mengambil bahagian dalam perbarisan lalu di acara penutup Sukan SEA ke-30 Filipina. – Gambar oleh Infofoto

“Bila kita memburu emas, kita melakukannya dengan sepenuh hati tetapi kita tidak membenarkan kilauan emas membutakan kita.”

Cayetano juga menyebut satu insiden ketika seorang atlet Filipina menyelamatkan atlet Indonesia dari lemas yang menjadi tajuk utama berita semasa Sukan SEA. “Apabila seorang atlet berada dalam bahaya, ia jelas untuk Roger Casugay, apa yang lebih penting daripada emas.”

Filipina merangkul juara keseluruhan selepas berjaya mengutip secara keseluruhan 387 pingat termasuk 149 pingat emas.

Sementara itu, perenang dari Singapura Quah Zheng Wen dianugerahkan Atlet Mega Lelaki selepas merangkul enam pingat emas dan dua pingat gangsa dalam acara akuatik dan Nguyen Thi Vien dari Vietnam dinobatkan sebagai Atlet Mega Wanita selepas berjaya memungut enam pingat emas dan dua pingat perak juga dalam acara akuatik.

Sementara itu, Anugerah Fair Play telah diberikan kepada Roger Casugay dari Filipina kerana tidak mementingkan diri sendiri untuk mengorbankan kepentingannya sendiri demi menyelamatkan nyawa orang lain sekali gus mempamerkan semangat kesukanan sebenar.

Seperti tradisi lalu, acara tersebut menyaksikan penyerahan simbolik Persekutuan Sukan SEA dari Filipina kepada Vietnam selaku tuan rumah Sukan SEA ke-31 pada tahun 2021.