Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-32 telah berakhir hari ini setelah dua minggu aksi sukan yang penuh drama dan keghairahan di tengah minat meluas dan persaingan baharu dalam kalangan komuniti sukan serantau.
Majlis penutup dimulakan dengan persembahan seni mempertahankan diri bertajuk ‘The Great Soul of Kun Bokator’ dan Perbarisan Negara-negara terdiri daripada para atlet dan sukarelawan.
Acara diikuti dengan ucapan daripada Menteri Pelancongan Kemboja selaku Presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja dan Pengerusi Majlis Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF), Kementerian Pelancongan, Tuan Yang Terutama Dr Thong Khon.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kemboja, Samdech Pichey Sena Tea Banh, dalam kapasitinya sebagai Pengerusi Sukan SEA ke-32 Kemboja dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN ke-12 2023 turut menyampaikan ucapan.
Atlet terbaik yang menunjukkan kecemerlangan turut diraikan semasa majlis anugerah sebagai pengiktirafan terhadap prestasi mereka.
Di hadapan penonton yang ramai, Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen menyampaikan ucapan dan pengumuman penutupan rasmi Sukan SEA ke-32 diikuti dengan pemadaman obor.
Mengikut tradisi, bendera Persekutuan Sukan SEA diturunkan dengan 64 kanak-kanak menyanyikan lagu Persekutuan Sukan SEA. Kemuncak acara itu turut menyaksikan upacara penyerahan bendera Persekutuan Sukan SEA kepada kerajaan Thailand yang akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-33.
Acara tersebut diakhiri dengan persembahan muzik dengan tema kebanggaan Kemboja dan pertunjukan bunga api selama empat minit.
