Sukan SEA: Vietnam dijangka beri cabaran sengit

KUALA LUMPUR, 18 OGOS – Tuan rumah Sukan SEA ke-31, Vietnam dijangka memberikan cabaran sengit dalam kedua-dua kategori, lelaki dan wanita bagi acara sepak takraw pada temasya sukan dwitahunan itu.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail berkata ia berikutan di kala skuad wanita Vietnam sudah menjadi pencabar pingat bersama Thailand, skuad lelaki negara itu juga sedang menunjukkan peningkatan untuk menjadi pencabar utama kepada Thailand, Malaysia dan Indonesia.

“Difahamkan lebih kurang lapan acara dicadangkan untuk dianjurkan di Hanoi, tahun depan. Acara seperti regu berpasukan, regu, team double, double, team quadrant, quadrant, hoop dan acara campuran bakal dipertandingkan, tetapi belum ada pengesahan (manakala chinlone juga dirayu untuk dimasukkan).

“Pada Sukan SEA lalu, pasukan wanita kita mampu memberi saingan sengit kepada Vietnam sebelum tewas kerana kesilapan sendiri. Tetapi kita tidak boleh memandang rendah pasukan lelaki Vietnam yang sedang menunjukkan peningkatan, lebih-lebih lagi apabila menjadi tuan rumah. Difahamkan pada waktu COVID-19 pun mereka berlatih siang dan malam,” katanya kepada Bernama.

Pada Sukan SEA 2019 di Filipina, Malaysia membawa pulang dua pingat perak menerusi acara regu lelaki dan regu berpasukan lelaki serta gangsa melalui regu wanita daripada enam acara dipertandingkan, manakala pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia meraih dua emas, tiga perak dan enam gangsa daripada 12 acara. – Bernama