Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 2 Mei – Pengerusi Sekolah Menengah Chung Ching Seria, Chin Kim Min menyatakan bahawa sukan merupakan satu aktiviti yang sangat penting dan memberi kesan positif kepada mental dan fizikal manusia dan itulah juga sebabnya kenapa sekolah-sekolah di seluruh dunia memuatkan acara sukan ke dalam kalendar sekolah untuk melibatkan pelajar dalam acara sukan yang berdaya saing, ketika berucap di Acara Sukan Sekolah tersebut yang diadakan di kawasan padang balapan Maktab Anthony Abell di sini.
Pelbagai acara sukan telah dipertandingkan seperti lompat jauh, lontar peluru, lempar cakera serta acara sukan larian sejauh 100 meter, 200 meter dan 400 meter, larian perseorangan dan berpasukan telah diadakan dalam Acara Sukan Sekolah tersebut.
Beliau menambah, sukan boleh mengajar tentang kehidupan, serta menggalakan kepada amalan kerja berpasukan dan bersama-sama mencapai matlamat, selain ianya juga adalah tentang amanah dan tanggungjawab.

“Satu lagi aspek penting dalam sukan adalah keupayaan untuk membuat orang merasa bahawa mereka adalah sebahagian daripada sesuatu, atau aktivitinya akan dinikmati semata-mata dengan pertimbangan yang wajar untuk keadilan, etika, hormat dan rasa persahabatan dengan pesaing, saya berharap agar para pelajar sekolah ini akan terus mempunyai semangat kesukanan yang mantap dan mapan,” katanya.
Di akhir acara sukan itu, beliau seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang.
Hadir sama menyaksikan Acara Sukan Sekolah tersebut ialah Pengerusi Eksekutif, Chai Youk Fatt, Timbalan Pengerusi 1, Yap Kong Fah, serta ahli-ahli Lembaga Pengarah sekolah tersebut Liu Vui Pin, Tin Wui Min, Dr Chong Chean Leung, Yap Tech Fah dan Mek Cheau Hin, dan pengetua Sekolah Menengah Chung Ching Seria, Dr Ang Sik Liong.