Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sukan tetap di hati Noura

    KABUL, AFGHANISTAN – Keazaman Noura untuk bergiat dalam sukan sangat tinggi sehingga dia tidak mengendahkan penentangan daripada keluarga selama bertahun-tahun.

    Walaupun dipukul oleh ibunya dan diejek oleh jirannya, dia tidak pernah berputus asa daripada sukan yang dicintainya.

    Namun, wanita Afghanistan berusia 20 tahun itu tidak dapat menentang pemerintah negaranya, Taliban.

    Mereka tidak hanya melarang semua jenis sukan untuk kaum wanita, mereka juga secara aktif menakut-nakutkan dan mengganggu sesiapa yang pernah bermain, walaupun semasa berlatih secara tertutup, kata Noura dan wanita-wanita lain.

    Hidup Noura kini hancur berkecai. “Saya tidak lagi sama seperti dahulu. Sejak datangnya Taliban, saya merasa seperti sudah mati,” katanya.

    Beberapa orang gadis dan wanita yang pernah bermain pelbagai jenis sukan mengatakan kepada Associated Press bahawa mereka telah diugut oleh Taliban melalui kunjungan dan panggilan telefon yang memberi amaran agar tidak melibatkan diri dalam sukan.

    Wanita dan gadis-gadis berkenaan bercakap dengan syarat tidak mahu nama mereka disiarkan kerana bimbang akan menghadapi ancaman lebih lanjut.

    Gambar fail bertarikh 29 Oktober 2022 menunjukkan seorang wanita Afghan yang berlatih Muay Tha, atau tinju Thai, bergambar di Kabul, Afghanistan. – AP
    Gambar fail bertarikh 22 September 2022 menunjukkan pasukan bola sepak wanita bergambar di Kabul, Afghanistan. – AP
    Gambar fail bertarikh 8 September 2022 menunjukkan seorang pemain bola keranjang wanita di Kabul, Afghanistan. – AP
    Gambar fail bertarikh 11 November 2022 menunjukkan seorang wanita Afghan bergambar dengan kayu kriket di Kabul, Afghanistan. – AP
    Gambar fail bertarikh 19 September 2022 menunjukkan seorang wanita Afghan bergambar bersama basikalnya di Kabul, Afghanistan. – AP
    Gambar fail bertarikh 17 September 2022 menunjukkan seorang pemain bola baling bergambar di Kabul, Afghanistan. – AP
    Gambar fail bertarikh 31 Oktober 2022 menunjukkan seorang wanita Afghan berlatih taekwondo di Kabul, Afghanistan. – AP
    Gambar fail bertarikh 29 Oktober 2022 menunjukkan seorang peninju wanita bergambar di Kabul, Afghanistan. – AP

    Selindung identiti sebalik potret

    Mereka bergambar potret untuk jurugambar AP dengan peralatan sukan yang mereka cintai.

    Mereka menyembunyikan identiti dengan burqa, pakaian yang menutupi seluruh tubuh dan topeng yang menutupi wajah, hanya meninggalkan jaring untuk melihat ke luar.

    Pada kebiasaannya, mereka tidak memakai burqa, tetapi menurut mereka, kadang-kadang mereka memakainya ketika hendak keluar dari rumah supaya tetap tidak dikenali serta bagi menghindari sebarang gangguan.

    Larangan terhadap sukan merupakan sebahagian daripada kempen Taliban yang semakin meningkat yang telah melumpuhkan kehidupan kaum wanita.

    Sejak mereka mengambil alih Afghanistan pada Ogos 2021, Taliban telah melarang kaum wanita untuk menghadiri sekolah menengah dan sekolah tinggi. Namun bulan lepas, mereka juga mengarahkan semua wanita dikeluarkan daripada universiti.

    Taliban mewajibkan kaum wanita menutup rambut dan wajah mereka di tempat awam dan melarang pergi ke taman atau gim.

    Mereka mengehadkan kemampuan wanita untuk bekerja di luar rumah dan baru-baru ini melarang organisasi bukan kerajaan daripada menggaji wanita, tindakan yang boleh melumpuhkan aliran bantuan penting.

    Sukan cabul kehormatan wanita

    Walaupun sebelum Taliban memerintah, sukan wanita ditentang oleh orang ramai dalam masyarakat Afghanistan yang sangat konservatif, dianggap sebagai pencabulan terhadap kehormatan wanita dan peranan mereka dalam masyarakat.

    Namun, kerajaan sebelum ini yang disokong pihak antarabangsa mempunyai program yang mendorong sukan wanita dan kelab-kelab sekolah, liga-liga dan pasukan kebangsaan untuk kaum wanita dalam pelbagai sukan.

    Seorang atlet seni bela diri campuran berusia 20 tahun mengenang kembali bagaimana pada Ogos 2021, dia sedang bersaing dalam kejohanan wanita tempatan di sebuah dewan sukan di Kabul.

    Berita tersebar melalui penonton dan peserta bahawa Taliban yang sedang mara kini berada di pinggir bandar. Semua kaum wanita melarikan diri dari dewan itu. Itu adalah pertandingan terakhir yang pernah dimainkan oleh atlet muda itu.

    Beberapa bulan kemudian, dia mengatakan dia cuba untuk memberikan pelajaran persendirian untuk kaum wanita. Namun, pejuang Taliban menyerbu gim tempat mereka berlatih dan menangkap mereka.

    Semasa dalam tahanan, mereka dimalukan dan diejek, katanya. Melalui pengantaraan oleh orang yang lebih tua, mereka dibebaskan setelah berjanji tidak akan berlatih sukan lagi.

    Dia masih berlatih di rumah dan kadang-kadang mengajar kawan-kawan rapatnya.

    “Hidup telah menjadi sangat sukar bagi saya, tetapi saya adalah seorang pejuang, jadi saya akan terus hidup dan berjuang,” katanya.

    Masa depan sukan wanita

    Mushwanay, jurucakap Organisasi Sukan Taliban dan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan, berkata pihak berkuasa sedang mencari jalan untuk membenarkan semula sukan untuk wanita dengan membina tempat sukan yang berasingan.

    Namun, dia tidak memberikan jangka masa dan berkata dana diperlukan untuk melakukannya. Pihak berkuasa Taliban telah berulang kali Amembuat janji yang serupa untuk membenarkan gadis kelas 7 dan ke atas untuk kembali ke sekolah, tetapi masih belum melakukannya.

    Noura telah menghadapi rintangan sepanjang hidupnya ketika dia berusaha untuk bergiat dalam sukan.

    Dibesarkan di daerah Kabul yang miskin oleh ibu bapa yang berpindah dari wilayah ke wilayah, Noura mula bermain bola sepak bersama kanak-kanak lelaki tempatan di jalan raya.

    Ketika dia berusia sembilan tahun, seorang pelatih menemukannya dan, atas dorongannya, dia menyertai pasukan belia wanita.

    Terbongkar

    Dia merahsiakan perkara tersebut daripada semua orang kecuali ayahnya, namun bakatnya yang luar biasa telah membongkar rahsianya.

    Pada usia 13 tahun, dia dinobatkan sebagai pemain bola sepak wanita terbaik dalam kelompok usianya dan foto serta namanya disiarkan di televisyen.

    “Di seluruh dunia, apabila seorang gadis menjadi terkenal dan gambarnya disiarkan di TV, itu adalah hari yang baik baginya dan dia berada di puncak kebahagiaan,” katanya.

    “Untuk saya, hari itu sangat pahit dan merupakan permulaan kepada hari-hari yang lebih buruk.”

    Marah, ibunya memukulnya sambil berteriak dia tidak dibenarkan bermain bola sepak.

    Dia terus bermain secara rahsia tetapi diketahui lagi ketika pasukannya menang kejuaraan peringkat kebangsaan, dan fotonya muncul dalam berita. Sekali lagi, ibunya memukulnya.

    Namun, dia menyelinap keluar untuk menghadiri acara penghargaan. Dia menangis di atas pentas semasa penonton bersorak. Apabila ibunya mengetahui, ibunya membakar baju seragam dan kasut bolanya.

    Noura meninggalkan bola sepak, tetapi kemudian beralih ke sukan tinju. Ibunya akhirnya mengalah, menyedari bahawa dia tidak mampu menghentikan anaknya daripada sukan, katanya.

    Pada hari Taliban mara ke Kabul, katanya, pelatihnya menghubungi ibunya dan mengatakan Noura harus pergi ke lapangan terbang untuk ke luar negara. Noura mengatakan ibunya tidak menyampaikan pesanan tersebut kerana ibunya tidak ingin dia pergi.

    Ketika dia mengetahui mengenainya, sudah terlambat untuk melarikan diri. Noura mengatakan dia memotong pergelangan tangannya dan harus dibawa ke hospital.

    “Dunia telah menjadi gelap bagi saya,” katanya.

    Tiga bulan kemudian, seseorang yang mengaku sebagai anggota Taliban menghubungi keluarganya dan mengancamnya.

    “Mereka berkata, mengapa kamu bermain sukan? Sukan dilarang,” katanya.

    Dalam ketakutan, dia meninggalkan Kabul, menyamar dalam burqanya untuk pergi ke kampung halaman keluarga. Akhirnya, dia kembali tetapi masih dalam ketakutan.

    “Walaupun jika hidup saya sukar, saya biasanya memiliki keyakinan diri dan tahu bahawa, dengan usaha, saya mampu melakukan apa yang saya inginkan,” katanya.

    “Sekarang saya tidak memiliki banyak harapan lagi,” ujarnya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda