Thursday, March 13, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sukar dapat kerja punca kes curi meningkat

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Jumlah kesalahan tertinggi bagi kemasukan ke penjara bagi 2024 ialah kesalahan curi iaitu sebanyak 116 daripada 341 jumlah kesalahan keseluruhan.

    Perangkaan itu didedahkan oleh oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh beberapa orang ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) berhubung Jabatan Penjara semasa Persidangan MMN ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menerangkan berdasarkan laporan hasil kajian oleh Pusat Pengajian Dasar dan Strategik (CSPS), ke atas banduan-banduan yang menjalani hukuman pemenjaraan kerana melakukan jenayah curi yang diterbitkan pada 2024, melaporkan bahawa 111 orang banduan yang ditemu duga, 53 peratus telah menyatakan keadaan ekonomi mereka seperti kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan bagi menyara hidup mereka sendiri atau keluarga dan masalah sumber kewangan telah menjadi penyebab faktor mereka untuk melakukan jenayah curi.

    Manakala berdasarkan perangkaan dari Jabatan Penjara, tambahnya, antara faktor yang menyumbang kepada kemasukan berulang kali banduan ialah kurang ketahanan jati diri dan ketabahan hati dalam menempuhi cabaran luar, kurang sokongan daripada ahli keluarga, terpengaruh semula dengan kawan-kawan lama dalam kegiatan tidak sihat, kelakuan atau tabiat, kesukaran mendapatkan pekerjaan, masalah sumber kewangan, ketidak sediaan masyarakat dalam menerima semula bekas banduan ke pangkuan masyarakat atau masih mempunyai stigma, presepsi negatif terhadap bekas bantuan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin berkata beberapa projek dan perancangan telah diatur dan dilaksanakan oleh Jabatan Penjara untuk membantu bekas-bekas banduan dalam memperkasa program pemulihan in-care sepanjang banduan berada dalam penjara dalam usaha untuk memberikan pengetahuan dan kepakaran asas serta pengukuhan jati diri seorang individu.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menjawab pertanyaan semasa Persidangan MMN ke-21 kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Program pemulihan yang berjalan dalam penjara mengandungi empat komponen iaitu pemulihan kerohanian dan akhlak, pemulihan melalui kaunseling, program latihan vokasional dan kemahiran serta pemulihan fizikal.

    Beliau menerangkan program yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Penjara adalah untuk meningkatkan pengetahuan akademik para banduan supaya apabila mereka keluar dari penjara nanti, mereka boleh mendapatkan pekerjaan.

    “Perkara ini telah dibincangkan dengan pihak-pihak berkepentingan atau rakan selia-rakan selia yang berdaftar dengan Jabatan Penjara bahawa kelulusan akademik penting untuk memastikan mereka dapat diambil untuk bekerja.”

    Sementara itu, menyentuh pertanyaan mengenai Produk Insaf, Yang Berhormat Dato menerangkan matlamat Produk Insaf adalah untuk memberikan banduan-banduan kemahiran vokasional untuk memastikan kesiapsiagaan mereka untuk menjalani kehidupan setelah dibebaskan.

    Hasil jualan Produk Insaf, tambahnya, tidak diberikan kepada banduan di mana hasil jualan akan menjadi hasil Jabatan Penjara, bagaimanapun, bagi banduan-banduan yang mengikuti program vokasional itu, mereka akan dibayar gaji di mana pendapatan yang diperolehiakan dikumpulkan bagi keperluan mereka selepas bebas nanti.

    Tertakluk juga kepada banduan-banduan berkenaan, gaji mereka yang terkumpul, boleh diserahkan kepada ahli keluarga mereka.

    Yang Berhormat Dato mendedahkan jumlah hasil jualan Produk Insaf bagi 2024 adalah $6,000 sahaja tetapi kemahiran yang diperoleh para banduan adalah penting dalam memastikan kesiapsiagaan mereka setelah keluar dari penjara nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda