Pelakon Malaysia, Azhan Rani berjaya mengatasi masalah tekanan darah rendah dihidapinya dengan mengubah gaya hidup dan pemakanan sihat.
Menurut mStar, Azhan atau Azhan Abdul Rani, 49, berkata, sudah tiga bulan dia meninggalkan pengambilan kafein seperti kopi dan teh dalam diet hariannya.
Sebaliknya memperbanyakkan sayur-sayuran hijau dan buah-buahan termasuk melakukan aktiviti sihat seperti mendaki bukit.
“Rutin saya sebelum ini memang setiap pagi minum teh tarik, petang membawa ke malam minum kopi tapi sudah tiga bulan saya tidak sentuh minuman tersebut.
“Saya banyakkan makan sayur hijau yang banyak zat besi, vitamin C dan makan buah epal sekurang-kurangnya sebiji sehari.
“Alhamdulillah keputusan dan bacaan hemoglobin (HB) dalam keadaan baik selain sesuai menderma darah,” katanya.
Azhan berkongsi perkara itu menerusi hantaran dimuat naik di Instagram miliknya pada Jumaat.
Dalam pada itu, Azhan berkata perubahan dilakukan itu juga membolehkan dia menderma darah tanpa sebarang masalah.
Malah pemeriksaan HB sebelum menderma darah pada pagi Jumaat turut menunjukkan ia berada pada tahap terbaik.
“Bacaan tadi 16.3 manakala sebelum ini tak pernah lepas 15. Paling rendah 13.5.
“Pernah juga saya tidak dibenarkan menderma darah sebab bacaan HB bawah 13,” katanya.
Disebabkan itu, Azhan menggesa kepada orang ramai agar menitikberatkan soal bacaan HB agar tidak mendatangkan mudarat ketika ingin menderma darah.
Itu kerana kata Azhan, bacaan HB yang rendah biasanya tidak dibenarkan untuk menderma darah. – Agensi