CANBERRA, 16 Jan – Orang ramai di Papua New Guinea diberi amaran mengenai letusan gunung berapi di negara Pasifik Selatan yang boleh mengakibatkan bencana tsunami setempat.
Gunung berapi di Pulau Kadovar telah meletus selama lebih seminggu, memaksa seramai 700 orang penduduk untuk meninggalkan pulau berkenaan dan 3,000 lagi bakal meninggalkan Pulau Biem yang berdekatan.
Penerbangan ke kawasan berkenaan turut ditangguh akibat risiko debu yang dihasilkan oleh gunung berapi dan kapal-kapal diberi amaran untuk tidak mendekati pulau itu.
Perdana Menteri Peter O’Neill berkata sumber berkaitan dari negeri itu telah bersedia untuk membantu pemindahan.
“Kami tidak akan membiarkan orang ramai berada dalam risiko. Kita perlu memindahkan mereka keluar dari sebarang bahaya dan sentiasa membuat pemantauan aktiviti gunung berapi itu,” menurut kenyataannya semalam.
Beliau turut memberi amaran kepada komiti di pantai utara untuk berjaga-jaga bagi sebarang kemungkinan tsunami. Kadovar terletak di luar pesisir pantai di utara New Guinea, sebuah pulau besar yang termasuk ibu negara Papua New Guinea, Port Moresby.
Chris Firth, pakar gunung berapi dari Jabatan Bumi dan Sains Pergerakan Planet di Universiti Macquarie Australia berkata hari ini kecuraman gunung berapi bermaksud letusan gunung berapi boleh mengakibatkan gelongsoran tanah ke laut, yang boleh mencetuskan tsunami.
“Memandangkan kekerapan dan ketidakaktifan gunung berapi, ia belum lagi dipelajari dengan baik pada masa lalu dan tidak mempunyai infrastruktur pemantauan yang ditempatkan di sana seperti gunung berapi yang sering aktif,” menurut kenyataan Firth. “Ini menjadikannya sukar untuk meramalkan apa yang bakal terjadi semasa berlakunya letusan.”
Papua New Guinea berada di atas kedudukan ‘Lingkaran Api’, sebuah garisan seismik yang melingkari Pasifik di mana gempa bumi dan letusan gunung berapi sering terjadi. – AP