Sukarelawan Belia anjur kempen derma darah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Dalam menangani penularan wabak COVID-19, permintaan darah sentiasa diperlukan setiap masa terutama bagi pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan, sehubungan dengan itu, Sukarelawan Belia dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) melaksanakan inisiatif kempen menderma darah yang berlangsung di Pusat Bahagia, Kampung Pulaie, hari ini.

Kempen selama dua hari bermula hari ini, dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari itu dihasratkan untuk menyokong usaha-usaha pihak hospital dalam mengekalkan bekalan darah yang mencukupi.

Menurut Ketua Operasi Pusat Sukarelawan Belia, Hajah Noor Monasalieana @ Suzie binti Haji Mohd Salleh, lebih 80 orang penderma darah telah mendaftar bagi menyertai kempen berkenaan di mana mereka dibahagikan kepada dua kumpulan bagi dua hari kempen dijalankan.

Beliau turut menyatakan bahawa sambutan daripada orang ramai dan sukarelawan untuk menyertai kempen berkenaan adalah sungguh menggalakkan dan pihak Sukarelawan Belia berhasrat untuk mengadakan kempen yang serupa pada masa yang terdekat bukan sahaja di Daerah Brunei dan Muara tetapi juga di daerah-daerah lain dengan menggunakan khidmat Sukarelawan Belia di daerah-daerah lain bagi melaksanakan kempen kerjasama.

Dalam memastikan lagi keselamatan para penderma dan kesemua pihak yang terlibat dalam kempen berkenaan, beliau menyatakan bahawa penjarakan sosial telah dilaksanakan semasa kempen itu, sebagaimana yang telah dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan untuk sentiasa mengamalkan penjarakan sosial bagi membendung dan mencegah penularan jangkitan wabak COVID-19.

Kempen itu turut menekankan perlunya bagi menggelakkan perkumpulan yang ramai dan ke arah hasrat berkenaan, jumlah mereka yang dibenarkan memasuki dewan bagi kempen berkenaan juga dihadkan.

Selain daripada kempen derma darah yang dilaksanakan itu, Hajah Noor Monasalieana menjelaskan bahawa Sukarelawan Belia bukan sahaja melaksanakan tugasan kesukarelawanan dalam menyokong kerja-kerja menangani wabak COVID-19 tetapi juga menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan oleh wabak itu.

Beliau menerangkan bahawa ahli-ahli sukarelawan turut menghulurkan bantuan dalam bidang kemasyarakatan kepada warga emas dan ibu-ibu tunggal di mana pendapatan mereka sememangnya terjejas akibat wabak COVID-19.

Para penderma darah yang mendaftar dan tampil untuk menjayakan kempen derma darah yang berlangsung di Pusat Bahagia, Kampung Pulaie.