Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 26 April – Sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusannya dalam menggalakkan kakitangan bersukarela memberi balik kepada masyarakat, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) telah melaksanakan satu aktiviti amal di Masjid Lorong Tiga Selatan Seria, hari ini.
Aktiviti yang juga merupakan sebahagian daripada Projek 90 Perbuatan Kebaikan itu telah disertai oleh lebih 50 orang sukarelawan dari syarikat berkenaan yang bekerjasama menjalankan kempen kebersihan dengan diketuai oleh Penasihat Perhubungan Luar, Dayang Adliena Hazirah binti Kamaludin dan Penasihat Pelaburan Sosial, Dayang Nadirah binti Kasmadi.
Turut hadir ialah beberapa orang pegawai dan kakitangan dari Jabatan Perhubungan dan Hal Ehwal Luar BSP, pegawai-pegawai kanan kerajaan dari pejabat-pejabat Daerah Belait, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kawasan sekitar.
Kempen telah dimulakan dengan taklimat ringkas dan bacaan Doa Selamat diikuti dengan menikmati sarapan pagi sebagai persediaan menjalankan kempen sepanjang pagi.
Selain kempen kebersihan di sekitar premis masjid, beberapa kumpulan sukarelawan juga telah ditugaskan untuk mengecat susur jalan konkrit dan garisan tempat letak kereta yang pudar.
Projek berkenaan merupakan salah satu daripada pelbagai peluang untuk menunjukkan komitmen kakitangan BSP dalam memberi balik kepada masyarakat menerusi semangat kesukarelawanan dan kerjasama serta keinginan untuk mengeratkan silaturahim bersama masyarakat setempat.
Selain itu, projek berkenaan juga bertujuan untuk mengembangkan lagi program kesukarelawanan sedia ada di BSP, terutamanya yang memfokuskan di kawasan Seria dan Kuala Belait. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan itu telah dikenal pasti menerusi rundingan bersama pelbagai pihak berkepentingan di Daerah Belait bagi memastikan bahawa setiap jenis aktiviti kemasyarakatan dijalankan sepanjang tahun.
Oleh itu, selain kempen kebersihan di masjid berkenaan, BSP juga telah menjalankan beberapa aktiviti kemasyarakatan seperti memotong rumput, kempen membersihkan sekolah, aktiviti-aktiviti berkaitan alam sekitar serta aktiviti yang bermatlamat untuk menyokong keluarga dan individu yang memerlukan dan banyak lagi.
Secara keseluruhan, BSP telah berjaya melaksanakan sejumlah 180 perbuatan baik dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti apabila momentum terus menggalakkan lagi dan memberi inspirasi kakitangan lain syarikat berkenaan untuk melaksanakan perbuatan kebaikan mereka sendiri.

