SELAT MELAKA, 5 Feb – Sukarelawan misi kemanusiaan ‘Food Flotilla For Myanmar’ berdepan detik cemas apabila seorang anggota misi itu rebah sebelum disahkan mengalami komplikasi dalaman dan perlu menjalani pembedahan segera.
Sukarelawan Mohd Hamdi Keruneh, 29, dikejarkan ke bilik pembedahan kira-kira 1 pagi, selepas disahkan doktor mengalami ulser perut dan perlu menjalani pembedahan segera.
Insiden ‘cemas’ itu adalah latihan yang dijalankan membabitkan 195 sukarelawan dalam misi yang memasuki hari ketiga hari ini bagi menguji tahap kecekapan pasukan paramedik yang menyertai misi itu.
Ketua Pakar Bedah, Pakar Bedah Jantung Pusat Perubatan Universiti Malaya Prof Raja Amin Raja Mokhtar berkata latihan selama dua jam bermula 1 pagi itu merupakan antara usaha bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kecekapan sekiranya berlaku kecemasan.
“Ia juga strategi dalam menangani sebarang insiden berskala besar dan sederhana.
“Ini kerana bila berada di tempat baharu, pasukan paramedik mesti bersedia dalam apa jua situasi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Prof Raja Amin berkata sekiranya insiden itu berlaku, pembedahan perlu ndijalankan segera dan ia mengambil masa kira-kira dua jam.
“Senario ini kita lakukan secara ‘real’ kerana kita nak tahu kekurangan yang ada jika sesuatu insiden berlaku,” katanya. – Bernama