Tuesday, March 18, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sukarelawan mainkan peranan penting bantu pesakit COVID-19

    BANGKOK – Ketika sistem perubatan Thailand bergelut untuk mengawal peningkatan kes koronavirus, orang awam menghulurkan bantuan, menggadaikan kesihatan diri sendiri untuk menjaga dan membawa bekalan kepada pesakit yang ketakutan dan keletihan dalam krisis tersebut.

    Di Samai, Bangkok, pasukan Ekapob Laungprasert sekali lagi turun pada hujung minggu untuk berada di barisan hadapan krisis.

    Kumpulan sukarelawannya, Samai Will Survive, berusaha pada setiap masa, memberikan bantuan kepada ratusan panggilan memohon pertolongan dari pesakit COVID-19 yang terdesak kerana mereka tidak dapat bantuan yang mereka perlukan.

    “Kami menyedari betapa sukar kerja ini dan bagaimana perasaan doktor dan jururawat yang keletihan,” kata ahli peniagaan berusia 38 tahun itu.

    “Apa yang kami lakukan pada hari ini adalah untuk membantu mengurangkan sedikit beban. Sebelum ini, kesemua pesakit perlu pergi ke hospital, akan tetapi sekarang hospital turut berdepan dengan kekurangan katil. Jadi kami sebagai sukarelawan turun padang menghulurkan bantuan.”

    Tidak lama sebelum mereka turun menghulurkan bantuan, Malee, seorang pesakit COVID-19 wanita telah disahkan positif dan pernafasannya semakin teruk. Kumpulan sukarelawan tersebut, memakai peralatan pelindungan diri (PPE), menghantar bekalan oksigen dan memberi keyakinan kepada Malee dan suaminya, seorang pegawai tentera yang turut dijangkiti virus.

    “Saya merasa hilang harapan meskipun sebagai seorang tentera. Saya memanggil doktor di hospital lapangan. Kesemua mereka memberitahu saya untuk menghantar maklumat, hanya menghantar maklumat,” kata Worawit Srisang.

    “Saya juga dapat jawapan yang sama di mana-mana. Sekurang-kurangnya mereka (sukarelawan) datang mengunjungi kami. Apa yang pesakit perlukan ialah peluang untuk berjumpa doktor, bukan hanya menghantar maklumat.”

    Para sukarelawan membantu memasang alat bantuan oksigen kepada pesakit COVID-19. – AP
    Ekapob bersama pasukannya setiap hujung minggu akan turun membantu pesakit dan menjadi petugas barisan hadapan. – AP
    Para sukarelawan menggunakan duit dari dana sumbangan awam membeli barang keperluan untuk membantu pesakit COVID-19. – AP

    Situasi di Thailand semakin meruncing. Kira-kira 15,000 kes baharu disahkan setiap hari dan masih ramai orang yang dijangkiti. Di Bangkok sahaja, 20,000 orang masih menunggu mendapatkan katil di hospital.

    Jadi wira tidak didendang seperti Ekapob dan kumpulannya – membeli peralatan dan bekalan dari dana sumbangan awam – adalah jaringan keselamatan penting, di saat waktu getir bagi kedua-dua pesakit dan sistem penjagaan kesihatan yang teruk terjejas.

    Satu lagi panggilan diterima, kali ini seorang wanita tua yang mempunyai gejala COVID-19. Tetapi dia tidak sihat untuk beratur selama berjam-jam di pusat kesihatan yang lumpuh, jadi setakat ini dia hanya menunggu di tempatnya ketika ini.

    “Nenek tersebut tidak dapat membuat ujian, jadi dia hanya berehat di katil. Jika kami ingin membawanya ke hospital, mereka akan meminta keputusan ujian nenek tersebut. Jadi kami terpaksa kembali seperti permulaan kerana kami terpaksa meminta mereka untuk membuat ujian,” kata Ekapob, sambil merenung ke luar jendela.

    Berkemungkinan besar dia menghidapi COVID-19. Kesemua ahli keluarganya telah disahkan positif.

    Selepas pemeriksaan, pasukannya memutuskan bahawa dia dalam keadaan stabil. Mereka memberikan bekalan oksigen dan kemudian kembali meneruskan menguruskan kes seterusnya.

    Terdapat perdebatan hangat di Thailand ketika ini mengenai pengagihan vaksin kebangsaan. Ramai penduduk Thailand berang mengenai pengagihan vaksin yang perlahan dan dilihat kurang bertanggungjawab kerana hanya kira-kira lima peratus penduduk ketika ini dilindungi sepenuhnya.

    Para sukarelawan menyaksikan pengagihan vaksin agak perlahan hampir setiap malam.

    Mereka menerima panggilan dari Nittaya Kongnuch, 52, yang sama seperti kebanyakan orang iaitu mengalami kesukaran bernafas.

    Adiknya menceritakan mengenai kisah keluarga yang semakin ramai dijangkiti. Ibu mereka meninggal dunia minggu lalu disebabkan virus, ketika mereka meminta bantuan segera untuk membawanya ke hospital tidak diendahkan.

    “Ibu saya menunjukkan gejala teruk sejak mula. Saya membuat panggilan demi panggilan untuk memberitahu mereka bahawa ibu saya tidak dapat menangani gejala tersebut, tetapi tiada sesiapa yang datang. Jururawat berulang kali memberitahu tiada katil untuk menempatkan mangsa,” kata Piyawan Koddunag, yang menahan air matanya.

    Kebanyakan kematian berlaku secara bersendirian. Tetapi bukan kesemuanya. Minggu lalu, satu mayat terlentang selama beberapa jam di atas jalan raya di Bangkok, membuatkan perdana menteri merasa malu.

    Pada malam Sabtu, Ekapob dan pasukannya melihat secara terang bagaimana perkara tersebut berlaku, ketika mereka menerima panggilan daripada seorang gelandangan wanita yang tidak menunjukkan sebarang gejala.

    Penduduk tempatan menyaksikan dari jarak jauh, pasukannya bergerak untuk membuat ujian segera.

    Dalam masa beberapa minit mereka mendapatkan keputusan, positif.

    Selepas membuat beberapa panggilan telefon, Ekapob mencari tempat di kemudahan di mana dia boleh dipantau sementara menunggu katil di hospital lapangan.

    Sekurang-kurangnya dia mempunyai peluang untuk berjuang. Tanpa sukarelawan, berkemungkinan besar dia tidak mempunyai peluang. Thailand mencatatkan lebih 497,302 kes COVID-19 dan lebih 4,000 kematian sejak pandemik bermula. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda