JERTIH, 10 SEPT – Sebanyak 100 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip dari dasar laut dan pantai oleh sukarelawan termasuk penyelam skuba menerusi program PADI Aware Dive Against Debris di kawasan Pulau Perhentian dekat sini, semalam.
Penasihat program itu, Datuk Zuraidah Atan berkata jumlah itu termasuk 40kg pelbagai jenis sampah yang dikutip di kawasan terumbu karang dasar laut oleh 20 penyelam skuba dalam tempoh satu jam menyelam.
“Botol plastik, tali, kasut, selipar antara yang banyak dikutip di dasar kawasan terumbu karang sedalam 10 meter dan masih banyak yang belum berjaya dikutip.
“Antara sampah yang banyak dikutip di tepi pantai pula ialah puntung rokok, botol plastik dan tin minuman,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.
Beliau berkata program membabitkan 100 sukarelawan termasuk penyelam skuba profesional itu dianjurkan bersama Yayasan Salam Malaysia dan Black Eye Scuba Team menerusi Sea Daddy Diver Services. – Bernama