Sukarelawan PPNBD terima pengiktirafan MoP

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Seramai 33 orang sukarelawan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) yang menyumbangkan tenaga dalam usaha kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini telah diberi pengiktirafan
dengan penganugerahan Lencana dan Skaf Perutusan Kedamaian (MoP), Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM).

Majlis penyampaian lencana dan skaf berkenaan telah diadakan di Dewan Serbaguna tingkat 5, Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, baru-baru ini, di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Ali.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPNBD, program MoP merupakan inisiatif yang dilancarkan oleh WOSM untuk pengakap-pengakap di seluruh dunia bagi membuat pelbagai program yang menjurus kepada keamanan, keharmonian, persaudaraan, kelestarian alam sekitar, mengatasi masalah sosial dan sebagainya.

Kenyataan menjelaskan, apabila Negara Brunei Darussalam dilanda wabak pandemik CoVid-19 pada Mac lalu, Kementerian Kesihatan menyeru bagi khidmat bantu sukarelawan daripada orang ramai. Dalam menyahut seruan itu, PPNBD telah mengaktifkan pasukan Sukarelawan COVID-19 yang terdiri daripada ahli-ahli pemimpin dan beberapa orang ahli pengakap kelana dari keempat-empat daerah.

Ahli-ahli pasukan bertugas selaku backliners dalam operasi COVID-19 Kementerian Kesihatan.

Misi awal adalah membantu dalam penyelenggaraan dan pengurusan Pusat Logistik Kementerian Kesihatan di Bangunan Pusat Promosi Kesihatan dan seterusnya diberi kepercayaan membantu kerja-kerja pelepasan kuarantin di beberapa buah hotel dan asrama institusi pendidikan.

Pada fasa pemulihan operasi COVID-19, Pasukan Sukarelawan PPNBD juga terlibat dalam kerja-kerja pembersihan dan menyahkuman beberapa lokasi kunjungan orang ramai seperti pasar dan tamu di Daerah Belait dan Daerah Temburong.

Komitmen berkenaan telah melayakkan Sukarelawan PPNBD mencapai sasaran masa minima dalam melaksanakan amalan-amalan terbaik projek MoP dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Pesuruhjaya Pengurusan Risiko dan Keselamatan, Haji Janaidi bin Haji Gunong menyatakan bahawa pengaktifan Sukarelawan PPNBD adalah pencapaian yang membanggakan dalam sejarah mereka.

Menurut beliau, mereka yang majoritinya pemimpin-pemimpin akan terus menyumbang khidmat selaku pembimbing dan nara sumber dalam mendukung program perkembangan belia berpengakap di Negara Brunei Darussalam, sejajar dengan matlamat teras WOSM untuk melahirkan para belia yang progresif, berintegriti dan responsif kepada bangsa dan negara.

Haji Awang Badar bergambar ramai bersama para sukarelawan PPNBD yang menerima lencana dan skaf MoP. – Gambar serahan PPNBD