Monday, July 14, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sukarelawan SUPMAA terima penghargaan

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Dengan melaksanakan kerja secara bergotong-royong, ia bukan sahaja dapat meringankan kerja-kerja yang dilaksanakan tetapi juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara penduduk kampung serta pihak sekolah.

    Sehubungan dengan itu, Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Azim (SUPMAA) Serasa, Kawasan Brunei IIB mengadakan majlis penyampaian sijil penghargaan kepada sukarelawan sekolah berkenaan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih pihak sekolah di atas sumbangan tenaga para sukarelawan dalam membantu membersihkan dan mencantikkan kawasan dalam dan luar sekolah itu.

    Majlis yang diadakan di sekolah berkenaan, baru-baru ini, juga dihasratkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara pihak sekolah dan sukarelawan SUPMAA yang terdiri daripada ibu bapa dan penjaga murid yang bersekolah di sekolah itu serta orang-orang perseorangan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Doa Selamat dan diikuti dengan ucapan penghargaan daripada Guru Besar sekolah, Dayang Norliyani binti Haji Ahmad yang kemudiannya menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada sukarelawan SUPMAA.

    Guru-guru SUPMAA Serasa dan para sukarelawan bergambar-ramai di majlis penyampaian sijil penghargaan itu.

    Di majlis itu juga, salah seorang wakil dari sukarelawan tersebut iaitu Awang Hadi Muslim bin Abdullah @ Haji Mohd Yusof yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Mukim dan Kampung kawasan Rancangan Perumahan Negara Kampung Meragang juga telah berkesudian memberikan ucapan terima kasih bagi pihak sukarelawan di atas penghargaan yang telah diberikan kepada mereka.

    Beliau turut menambah pihak sukarelawan akan cuba memberikan bantuan dan pertolongan sedaya upaya pada bila-bila masa dan waktu selagi diperlukan. Pihak sekolah mengharapkan hubungan antara sukarelawan dan pihak sekolah dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak demi keselesaan murid sekolah yang belajar di sekolah tersebut.

    Pada hari tersebut juga, pihak sekolah dan sukarelawan telah melaksanakan aktiviti mencantikkan lagi kawasan letak kereta SUPMAA.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda