AMERIKA SYARIKAT – Disebuah kawasan padang pasir yang luas di Utara Mexico, masyarakat asli Mexico kelihatan berjalan dengan berkaki ayam menyanyi sambil menari dan diselubungi dengan asap kemenyan serta menyeru kuasa helang untuk menyelamatkan mereka daripada dinding sempadan yang telah diarahkan oleh Presiden Donald Trump terhadap sempadan-sempadan mereka dengan negara Mexico.
Sempadan Amerika Syarikat dan Mexico dianggarkan melalui lebih daripada sekadar padang pasir Sonora dan Arizona namun bagi Tohono O’Odham dengan burung helang mereka, ‘dinding’ ini telah membahagikan rakyat dan budaya mereka.
Apa yang pasti, ini adalah tanah nenek moyang mereka, satu bangsa yang telah berada di sini selama beribu-ribu tahun yang lalu sebelum negara moden seperti Amerika Syarikat dan Mexico memetakan wilayah mereka dalam abad ke-19.
“Ini adalah tanah kami dan kami mahu ia tanpa dinding malah bagi kami tiada istilah dinding atau sempadan terutama di tanah ini,” kata pemimpin puak asli tersebut yang dikenali sebagai Alicia Chuhuhua berusia 80 tahun kepada wartawan AFP.
Hidup di padang pasir
Perkampungan Tohono O’Odham dianggarkan mempunyai sekitar 3,000 penduduk dan nama kampung tersebut mempunyai maksud yang tersendiri iaitu ‘Masyarakat Padang Pasir’ dan telah diiktiraf sebagai sebuah negara yang asli di Amerika Syarikat.

Sebahagian besar daripada masyarakat di kawasan perkampungan ini tinggal di kawasan Sells, Arizona bersempadan dengan Mexico manakala dianggarkan beberapa ratus lagi masyarakat ini tinggal di Mexico. Masyarakat ini dibenarkan untuk menyeberang ke perkampungan ini melalui pintu gerbang San Miguel untuk upacara tertentu seperti upacara pengebumian.
Manakala, masyarakat yang sama di Mexico pula menyeberang ke kawasan perkampungan itu untuk menerima rawatan perubatan di Arizona.
Salah seorang penduduk di kampung itu, Chuhuhua masih lagi ingat akan kehidupan mereka yang sentiasa berpindah rendah apatah lagi dirinya sebagai seorang gadis. Semasa menemui perkampungan itu, ia dipenuhi dengan buah naga dan masyarakat tersebut telah memanfaatkan kaktus sebagai makanan asasi mereka.
Namun hanya satu dekad yang lalu, masih terdapat beberapa buah bas yang membawa anak-anak Tohono O’Odham dari wilayah Mexico Sonora menyeberang ke Sells untuk pergi ke sekolah.
Namun satu demi satu, lintasan sempadan telah ditutup untuk mereka, hanya San Miguel kekal sebagai transit percuma mereka dalam jarak yang munasabah.
Malah kini, masyarakat perkampungan Tohono O’Odham di Amerika Syarikat dan juga Mexico merasa bimbang apatah lagi semenjak presiden baru, Donald Trump merancang untuk membina dinding di sempadan-sempadan antara AS dan Mexico. Bagi Chuhuhua dan rakan-rakan beliau yang lain beranggapan bahawa jika dinding ini terus dibina, ia akan memecahkan tanah nenek moyang mereka. Apa yang menyedihkan, jika terpaksa, para penduduk akan pergi ke pintu sempadan yang lain yang mana lebih jauh.
“Kami akan membuang masa lebih daripada tujuh jam untuk melalui sempadan yang lebih jauh itu dan apakah yang akan kami lakukan, jika kami memerlukan bantuan kecemasan perubatan, adakah jika kami melalui jalan yang jauh ini, segala keperluan perubatan yang terlambat,” kata Gemma Martin, salah seorang penduduk Tohono yang hidup di wilayah Mexico kepada wartawan AFP.


Hak manusia
“Pemimpin Tohono merancang untuk membawa tuntutan hak mereka terhadap perancangan dinding tersebut ke PBB bersama-sama dengan suku kaum asli Amerika yang lain,” kata salah seorang perancang suku kaum tersebut, Mike Wilson kepada wartawan AFP.
Mike Wilson telah berkhidmat dalam Tentera Darat Amerika Syarikat dan kini salah seorang aktivis hak asasi manusia.
“Apa yang pasti dengan terbina dinding itu nanti akan membuatkan keadaan bertambah teruk dan ia seolah-olah seperti satu bentuk pelanggaran hak asasi manusia,” tambah Wilson lagi kepada wartawan. Malah, pihak kerajaan Mexico juga telah berjanji untuk menyokong kes suku itu untuk mesyuarat bulan depan di Inter-American Mahkamah Hak Asasi Manusia.
Hati yang telah dibahagikan
Walaupun sebelum dinding dibina, masyarakat suku asli itu telah pun terbahagi dalam kalangan mereka. Naib presiden dari suku kaum itu, Verlan Jose mengatakan bahawa beliau telah melihat dinding itu terbina dan bertegas untuk menghalangnya walaupun beberapa suku asli yang lain merasa ragu mengenai pendirian beliau itu.
David Garcia, bekas ahli Majlis Tertinggi Tohono berkata bahawa beberapa kepimpinan puak asli enggan untuk menentang Washington kerana takut akan kehilangan subsidi daripada Amerika Syarikat. Faith Ramon, pelajar dari Tohono berusia 34 tahun dari Azona berkata bahawa pihak berkuasa puak asli tersebut cuba untuk menghentikan perjalanannya untuk menuju ke Sonora untuk majlis perhimpunan itu.
“Saya berasa terluka oleh suku kaum saya sendiri,” tambah Faith lagi kepada wartawan AFP.
Barisan wanita-wanita suka asli itu menghabiskan tarian mereka di bawah terik matahari padang pasir yang membakar. Seperti langit bertukar merah di waktu senja, mereka kembali semula ke rumah dan terus memikirkan masa depan mereka yang tidak menentu di antara kedua-dua belah sempadan. “Situasi ini telah memotong hati kami kepada separuh, separuh hati kami di Sonora dan separuh lagi di Arizona,” tambah Wilson lagi kepada wartawan mengakhiri temu ramah bersama media. – AFP