BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), selaku ejen kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mengurus dan mentadbir terbitan Sukuk Al-Ijarah mengumumkan kejayaan penetapan harga terbitan sekuriti jangka pendek Sukuk Al-Ijarah ke-169nya yang berjumlah $100 juta.
AMBD dalam kenyataannya hari ini berkata, Sukuk Al-Ijarah siri 169 diterbitkan pada 9 Mei 2019 untuk tempoh 91 hari dengan tempoh matang pada 8 Ogos 2019 dan kadar sewa 1.687 peratus.
Dengan terbitan tersebut, kerajaan Brunei sehingga ini telah menerbitkan sekuriti jangka pendek Sukuk Al-Ijarah bernilai lebih $12.83 bilion sejak tawaran pertama pada 6 April 2006 dan jumlah pegangan Sukuk kerajaan Brunei sehingga 9 Mei ialah sebanyak $322 juta.