Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sukuran Taib CEO baharu Perbadanan Labuan

    KUALA LUMPUR, 15 NOV – Bekas Pengarah Bahagian Rancangan Fizikal Negara di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Sukuran Taib dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Labuan yang baharu berkuat kuasa hari ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataan berkata pelantikan itu dibuat selaras dengan Subseksyen 10(1) Akta Perbadanan Labuan 2011 (Akta 609).

    “Beliau memiliki pengalaman luas dalam bidang perancangan bandar selama 29 tahun.

    Sepanjang perkhidmatan, beliau memainkan peranan penting dalam merangka dan melaksanakan dasar-dasar pembangunan fizikal negara, khususnya melalui jawatan terakhir sebagai Pengarah Bahagian Rancangan Fizikal Negara, PLANMalaysia,” katanya.

    Sukuran, 52, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Perancangan Perumahan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

    Zaliha berkata dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, Sukuran mampu menerajui Perbadanan Labuan dengan penuh integriti dan dedikasi bagi memastikan kesinambungan pembangunan yang mampan di wilayah itu.

    “Ini penting agar seiring dengan pembangunan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, berlandaskan Rancangan Struktur Labuan 2040,” kata beliau.

    Sementara itu, Zaliha turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada bekas CEO terdahulu Rithuan Ismail atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang menjawat jawatan berkenaan. – Bernama

    Dr Zaliha Mustafa pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda