KUALA LUMPUR, 30 Jan – Rakyat Malaysia sekali lagi akan menyaksikan pengisytiharan Ketua Negara baharu apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam satu istiadat di Istana Negara, esok.
Sebagaimana termaktub dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan, baginda akan melafaz sumpah dengan disaksikan Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) yang akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara.
Dengan pengisytiharan itu, Sultan Abdullah yang menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan pada 6 Januari lepas akan menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun bermula esok.
Mesyuarat khas itu juga akan menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengang-kat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
Pemilihan Sultan Abdullah menzahirkan kesepakatan dan keharmonian dalam kalangan sultan dan raja Melayu membuat keputusan penggiliran mengikut peruntukan perlembagaan dalam masa yang singkat, sekali gus mendukung sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan Malaysia.
Sempena istiadat itu, Pahang mengumumkan cuti peristiwa esok bagi membolehkan rakyat meraikan dan mengikuti upacara itu memandangkan kali terakhir detik bersejarah seumpama itu berlaku adalah kira-kira empat dekad lepas, apabila Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh (1979-1984). – Bernama