KUALA LUMPUR, 3 JULAI – Sempadan negara perlu diperkukuh bagi membanteras isu penyeludupan dadah yang semakin membimbangkan, titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda bertitah kawalan di pintu masuk negara seperti lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat perlu diperketat kerana ia dikenal pasti sebagai antara laluan utama kemasukan bekalan dadah ke dalam negara.
Al-Sultan Abdullah turut menyuarakan kebimbangan terhadap penularan gejala dadah dalam kalangan belia dan menekankan bahawa penguatkuasaan sedia ada perlu diperkukuh supaya undang-undang yang digubal benar-benar memberi kesan.
Baginda juga memaklumkan wujud trend baharu dalam penyeludupan dadah menggunakan kapal nelayan di tengah laut, sekali gus mewujudkan keperluan mendesak untuk pengawasan lebih menyeluruh terutama di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Pada November tahun lepas, Baginda dilaporkan bertitah angka penagih dadah di Pahang berada pada tahap amat membimbangkan.
Angka yang dipersembahkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) adalah sebanyak 11,750 penagih aktif.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan sokongan terhadap langkah mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di seluruh negara, memandangkan kesan buruknya terhadap kesihatan dan masa depan generasi muda.
Baginda bertitah pelaksanaan pengharaman rokok elektronik di Pahang akan melalui proses di Dewan Undangan Negeri bagi penggubalan undang-undang berkaitan, sebelum dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). – Bernama
