Tuesday, May 6, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sultan Kedah kini bergelar Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin

    ALOR SETAR, 22 Okt – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah hari ini selamat ditabalkan sebagai Sultan Kedah Ke-29 dalam satu istiadat pertabalan yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Anak Bukit di sini.

    Sebaik selesai ditabalkan, baginda Sultan kini bergelar Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

    Istiadat Pertabalan baginda itu juga berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Kedah selepas kali terakhir istiadat yang sama diadakan pada 1959, iaitu ketika Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabalkan sebagai Sultan Kedah Ke-28.

    Istiadat bermula dengan keberangkatan masuk Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha ke Balairung Seri diiringi oleh pegawai-pegawai yang membawa Cogan Agama, Cogan Alam, Cokmar, Pedang, Tombak dan Lembing, Juru-juru iring tentera dan polis didahului oleh Datuk Paduka Seri Maharajalela, Ketua Istiadat Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahbuddin.

    Kemudiannya bacaan selawat dilafazkan sebaik baginda berdua berangkat masuk ke Balairung Seri yang kemudiannya nobat turut dipalukan.

    Baginda berdua selepas itu berangkat bersemayam di atas singgahsana dengan pembawa-pembawa alat kebesaran Diraja serta juru-juru iring mengambil tempat.

    Datuk Paduka Ketua Istiadat kemudiannya mengadap baginda dan memohon limpah perkenan untuk memulakan istiadat dan Datuk-datuk Bergelar membawa masuk peralatan pertabalan dan diletak di meja khas.

    Peralatan pertabalan itu terdiri daripada al-Quran, Watikah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, Surat Perisytiharan, Surat Sumpah DiRaja, Keris Kerajaan, Puan Sirih, Tengkolok Emas, Kendi Emas, Benian (sebuah peti yang mengandungi barang-barang berharga yang melambangkan kekuasaan dan kekayaan Sultan Kedah) dan Bekas Perasap Kemeyan.

    Mufti Kedah Datuk Sheikh Fadzil Awang diiringi Datuk Setia Jaya dan Datuk Murshid DiRaja selepas itu memimpin bacaan doa serta membaca lapan kalimah ayat dari Surah Al-Imran, Ayat 26.

    Ketua Istiadat mengadap baginda Sultan dan mempersembahkan al-Quran dan baginda menerima, mengucup dan meletakkan al-Quran itu di tempat khas.

    Mukhriz selepas itu membacakan Watikah Perisytiharan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah dan Datuk Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda untuk mempersembahkan skrol Watikah Sumpah Jawatan untuk dibaca baginda Sultan.

    Selesai pembacaan watikah itu, Datuk Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda untuk mempersembahkan Keris Kerajaan dengan lafaz “Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun, Sembah Patik Pohon Di Ampun, Patik menyembahkan Keris Kerajaan sebagai lambang kebesaran kedaulatan dan kekuasaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku”.

    Sultan Sallehuddin kemudiannya mengambil Keris Kerajaan, menghunus serta mengucup dan meletaknya di meja khas.

    Datuk Paduka Ketua Istiadat selepas itu membuat pengumuman “Dengan Izin Allah SWT Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah ditabal sebagai Sultan Negeri Kedah Yang Ke-29” Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang disusuli laungan, “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali diikuti oleh para hadirin yang hadir.

    Nobat kemudiannya dipalu disusuli tembakan meriam 21 das dan Payung Istiadat dikembangkan dan setelah paluan nobat itu, lagu ‘Allah Selamat Sultan’ dimainkan.

    Sebaik Sultan Sallehuddin berangkat bersemayam semula di atas singgahsana, Raja Muda Kedah mempersembahkan ucapan tahniah bagi mewakili kerabat Diraja dan selepas itu Mukhriz mengambil giliran memberikan ucapan tahniah bagi mewakili kerajaan dan rakyat.

    Sebaik tamat, Sheikh Fadzil sekali lagi memimpin bacaan doa dan selepas itu Datuk Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda dan mempersembah maklum memohon limpah perkenan untuk menamatkan istiadat.

    Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 itu membabitkan beberapa istiadat iaitu bermula dengan Istiadat Letak Kerja pada 20 September lepas diikuti Istiadat Ziarah Makam (5 Oktober), Istiadat Siram Tabal (14 Oktober), Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormatan (20 Oktober) dan Istiadat Pertabalan pada hari ini.

    Pada 12 Sept 2017, baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat sehari sebelumnya.

    Sultan Sallehuddin diputerakan pada 30 April 1942 dan mendirikan rumah tangga dengan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha serta dikurniakan dua putera, Tengku Sarafudin Badlishah dan Tunku Shazuddin Ariff. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda