Oleh SIM Y. H.
Gambar serahan Kementerian Pertahanan
Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menjangkau usia yang ke-59 tahun pada tanggal 31 Mei kelmarin dengan ulang tahunnya pada kali ini bertemakan ‘Bersama Menjayakan Wawasan Negara’ sebagai kesinambungan tema lalu bagi ABDB untuk terus-menerus mendukung dan sama-sama mengungkayahkan Wawasan Brunei 2035.
Seiring dengan perkembangan persekitaran serta keselamatan global yang semakin kompleks dan mencabar dewasa ini, ABDB akan terus berwaspada dan bersedia untuk menghadapi apa jua sebarang kemungkinan, cabaran mahupun ancaman dalam menjaga kedaulatan negara.
Seperti petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-58 pada 30 Jun 2019 yang lalu, di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan; “Dengan adanya pembangunan pula, kenikmatan hidup pun dapat dirasai. Namun kita mesti sedar, bahawa kenikmatan itu janganlah ia melalaikan kita, demi mengingati, bahawa ancaman-ancaman global adalah dinamik, cepat dan merentas sempadan. Dari itu, tahap kewaspadaan kita perlu ditingkatkan dari masa ke semasa. Ia mustahak konsisten tanpa ada titik noktahnya. Tidak diragukan lagi, ABDB adalah pemegang utama peranan itu di sini.”
Mengimbas kembali pencapaian dan perkembangan ABDB pada usianya yang menjangkau 59 tahun, sememangnya pelbagai perubahan dan peningkatan yang positif telah dicapai berdasarkan garis pandu daripada Kementerian Pertahanan dan Arahan Pemerintah ABDB 2020 – 2021.
Arahan ini adalah bertujuan untuk menyampaikan hasrat serta sebagai bimbingan dan peringatan kepada semua peringkat ABDB dalam memastikan mereka terus menunaikan peranan dan tanggungjawab dalam memelihara keamanan dan kedaulatan negara.
Di antara penekanan mesej yang disampaikan adalah untuk menghayati amalan melalui SEPADU yang merangkumi sekuriti, efisien, piawaian, agama, disiplin dan upaya.
Semua lapisan anggota ABDB perlu sentiasa peka dan celik dalam menjaga aspek sekuriti secara keseluruhan, meningkatkan kecekapan pengurusan kerja ke arah mencapai organisasi yang efisien, kompeten dalam memelihara dan mencapai piawaian yang tinggi, menghayati ajaran agama yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan memahami Maqasid Syariah bagi menjaga kehidupan yang seimbang di antara tugas dan agama.
Penubuhan kumpulan bantu Task Force COVID-19 ABDB (KB TF COVID-19 ABDB)
Penularan wabak COVID-19 yang melanda di seluruh pelosok dunia termasuk di negara ini sememangnya telah memberi kesan. Anggota-anggota ABDB, di bawah pengurusan Kumpulan Bantu Task Force COVID-19, terlibat secara langsung atau pun tidak langsung dalam memberikan bantuan dan sokongan bagi mencapai usaha kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.
Dalam usaha membantu Kementerian Kesihatan menangani penularan wabak COVID-19, pada 15 Februari lalu, ABDB telah mula memberikan bantuan pemeriksaan suhu badan di Pos Kawalan Imigresen dan Kastam (CIQ), Sungai Tujoh. Bilik Operasi COVID-19 dibuka bermula hari Khamis, 12 Mac 2020 dan seterusnya penubuhan Kumpulan Bantu Task Force COVID-19 ABDB bagi menggantikan Bilik Operasi COVID-19 sejak 18 Mac 2020.
Misi utama Kumpulan Bantu Task Force COVID-19 ABDB adalah untuk memberikan bantuan logistik dan pentadbiran kepada Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak COVID-19.
Peranan utama Kumpulan Bantu Task Force COVID-19 ABDB terbahagi kepada dua bahagian iaitu memberikan bantuan pengangkutan dan mengkoordinasi bantuan tenaga kerja dan pentadbiran.
Setakat ini, lebih dari 500 orang anggota tentera telah dan sedang bertugas sejak penubuhan Bilik Operasi COVID-19. Di antara penugasan selain daripada bantuan pengangkutan, Kumpulan Bantu Task Force COVID-19 ABDB juga menjalankan tugas-tugas seperti:
1. Selaku Pegawai Perhubungan atau Liaison Officer (LO) di Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC).
2. Memberikan tenaga kerja dalam bantuan logistik sumbangan dan derma di Pusat Promosi Kesihatan (HPC).
3. Bantuan tenaga kerja dan perkeranian di Perkampungan Sukan.
4. Bantuan tenaga kerja di pos-pos kawalan immigresen dan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sungai Tujoh dan Labu.
5. Bantuan tenaga kerja di Bahagian Pusat Operasi Kecemasan (DEOC), Kementerian Kesihatan.
Lebih dari 500 bantuan pergerakan telah dijalankan dan seramai lebih dari 3,500 orang penumpang telah diangkut semenjak mula ditugaskan pada 19 Mac lepas. Memandangkan tugas pengangkutan adalah tumpuan usaha Kumpulan Bantu Task Force COVID-19 ABDB pada masa ini.
Kumpulan Bantu Task Force COVID-19 ABDB akan sentiasa berusaha bersama agensi-agensi berkepentingan lain se perti Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan Institut Latihan ABDB (IL ABDB) dalam memastikan setiap pemandu adalah berkebolehan serta berkelayakan.
Kumpulan Mobile Admin Support Team (MAST) pada asalnya adalah merupakan tenaga kerja dalam membantu pengurusan kemasukan penumpang-penumpang ke negara ini dari pos-pos kawalan darat, laut dan udara ke pusat-pusat pengasingan yang terdiri dari hotel, pangsapuri dan bangunan-bangunan kerajaan.
MAST juga pernah digunakan bagi membantu di CIQ iaitu Sungai Tujoh dan Labu. Pada masa ini, MAST digunakan dalam keperluan mana-mana bantuan berbentuk tenaga kerja logistik yang mana ketersediaan seramai 10 petugas dalam keadaan siap sedia untuk memberikan bantuan berbentuk tenaga pada bila-bila masa yang diperlukan. Setakat ini, sejumlah 12 penugasan secara keseluruhan MAST telah diberikan bermula dari 20 Mac lalu.
Selain daripada itu, ABDB juga menjalankan satu tugasan baharu iaitu bekerjasama dengan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan ahli-ahli takmir masjid, surau dan balai-balai ibadat dalam memberikan bantuan pengawalan bagi kesejahteraan jemaah semasa menunaikan Solat Fardu Jumaat bermula pada 29 Mei lalu iaitu semasa masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat mula dibuka semula untuk rakyat dan penduduk di negara ini setelah selama 10 minggu penutupan sementara bagi mencegah penularan wabak COVID-19. Dalam menyokong kerajaan di dalam pembukaan semula masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat untuk rakyat Brunei menunaikan Solat Fardu Jumaat tersebut, ABDB telah memberikan bantuan tenaga kerja untuk melaksanakan tugas pengawalan.
Kumpulan sekuriti Task Force COVID-19
Dalam usaha untuk menyokong Kementerian Kesihatan membanteras penularan wabak COVID-19 di negara ini, PPDB dan ABDB melaksanakan Operasi Sepadu bermula 20 April lalu.
Operasi Sepadu ini bertujuan untuk mengekang penyebaran COVID-19 di negara ini dengan menyekat kemasukan yang tidak terkawal melalui jejak tetikus di Kampung Bebuloh, Kampung Lumapas dan Kampung Junjongan.
Selain daripada rondaan darat yang dilaksanakan oleh Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), rondaan maritim dan rondaan udara yang dilaksanakan oleh Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) khususnya di seluruh perairan negara ini juga telah dipertingkatkan untuk memastikan kapal-kapal asing tidak mencerobohi perairan.
Mana-mana kapal asing yang didapati mencerobohi perairan negara akan diberi amaran keras dan seterusnya diiring keluar tanpa sebarang kontak fizikal.
Penubuhan makmal ABDB
Dalam menyahut harapan pendekatan kerajaan secara menyeluruh (whole-of-government approach), ABDB telah menubuhkan makmal sementara di Brunei Agricultural Research Centre, Kampung Kilanas dalam usaha membantu Kementerian Kesihatan menangani penularan wabak COVID-19. Tujuh orang anggota ABDB ditugaskan di makmal tersebut yang mana ia dilengkapi dengan mesin Real Time Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).
Makmal ini juga dijadikan sebagai pelan kontingensi Kementerian Kesihatan jika penggunaannya diperlukan oleh kementerian berkenaan.
Sebagai langkah mempersiapkan makmal ini untuk beroperasi, anggota-anggota makmal ABDB menghadiri latihan ulangkaji makmal yang mana kerjasama sesama pegawai saintifik dari Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan serta Jabatan Perkhidmatan Makmal Kementerian Kesihatan dapat dilihat. Ini sejajar dengan Pelan Strategik Persiapan COVID-19 dan respons bagi menangani penularan wabak pandemik di Brunei.
Sumbangan untuk COVID-19 Relief Fund
ABDB juga turut menyerahkan sumbangan bantuan kepada COVID-19 Relief Fund.
Sumbangan ini adalah sebagai sebahagian daripada komitmen dan tanggungjawab sosial ABDB untuk membantu Kementerian Kesihatan menangani penularan jangkitan wabak COVID-19 yang melanda negara ini dan bagi penjagaan petugas barisan hadapan.
Sambutan berbeza tahun ini
Berikutan situasi wabak COVID-19 pada masa ini, Hari Ulang Tahun ABDB ke-59 tahun ini agak berbeza daripada sambutan di tahun-tahun lalu yang mana acara kemuncak Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei iaitu upacara perbarisan raksasa serta persembahan arena dan pameran statik adalah ditiadakan pada tahun ini. Walau bagaimanapun, aktiviti-aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan akan dibuat mengikut garis pandu yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan risiko penularan wabak COVID-19.