Oleh Salawati Haji Yahya & Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Aktiviti-aktiviti berkebajikan seperti sumbangan derma kepada anak-anak yatim terus diadakan oleh pelbagai pihak bersempena bulan Ramadan bagi merebut ganjaran yang berlipat kali ganda.
Sehubungan itu, Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei (BBCSG), baru-baru ini telah menyampaikan sumbangan kepada 34 orang anak-anak yatim yang ayah mereka meninggal dunia disebabkan kanser pada Majlis Penyampaian Sumbangsih Prihatin Musim ke-4.
Hadir menyampaikan sumbangan yang berlangsung di sebuah hotel di Beribi ialah Presiden BBCSG, Hajah Aminah binti Haji Momin.
Bacaan tahlil dan Doa Arwah khusus untuk pesakit-pesakit kanser yang telah kembali ke rahmatullah dipimpin oleh Pegawai Pelajaran di Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Haji Sammali bin Haji Mohd Adam.
Turut hadir Timbalan Yang Di-Pertua BBCSG, Hajah Linda Aini binti Abdullah yang juga pengerusi bersama, dan Bendahari Kehormat BBCSG, Profesor Madya Dr Hajah Masriana binti Haji Abdul Hamid serta ibu dan penjaga anak-anak yatim serta survivor kanser.






Sementara itu, enam pelajar terdiri daripada anak-anak yatim Sekolah Rendah Sultan Abdul Bubin, Sungai Besar, baru-baru ini, juga menerima sumbangan daripada mantan guru-guru Sekolah Rendah Dato Marsal (SRDM) bagi tahun 1991-1998 sempena bulan Ramadan.
Acara yang diadakan di SRDM telah disampaikan oleh Haji Othman bin Abdul Rahman, selaku wakil dari sekolah berkenaan.
Turut hadir ialah Guru Besar SRDM, Dayang Nur Aliyah Damia binti Abdullah Lim, serta pegawai-pegawai sekolah tersebut. Acara diakhiri dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Haji Halim bin Abdullah.
Sekolah Menengah (SM) Chung Hwa juga tidak ketinggalan mengadakan Majlis Tahlil dan Penyampaian Derma Anak Yatim kepada tiga pelajar sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Hadir pada majlis yang diadakan di sekolah berkenaan itu, Pengetua Sekolah, Koh Guik Lan; Timbalan Pengetua, Beh Hai Yau; Penolong Pengetua, Tan Ben Tiem; serta guru-guru dan warga sekolah yang lain.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar yang dipimpin oleh Haji Alimin bin Haji Muhin, manakala bacaan Tafrijiyyah dipimpin oleh Haji Abdul Ghani bin Awang Haji Damit.
Sementara bacaan Surah Yasin diketuai oleh Haji Hairol Haimi bin Haji Usop dan tahlil dipimpin oleh Awang Ishak bin Haji Sabtu. Manakala bacaan Doa Arwah dibacakan oleh Awang Muhammad Nabil bin Haji Maidin.
Manakala itu, seramai 39 orang anak yatim dari Kampung Jerudong A dan B menerima sumbangan SP Setia Sdn Bhd pada majlis sumbangan sempena bulan Ramadan yang berlangsung di sebuah restoran, di sini, hari ini.
Hadir selaku tetamu khas dan menyampaikan sumbangan ialah Pengarah Urusan SP Setia Sdn Bhd, Patrick Choo dan Pengurus Restoran, Shamsul Qamar. Turut hadir Pemangku Ketua Kampung Jerudong B, Awang Kamis bin Panjang.
Kumpulan Syarikat Teyeem dan Pengasas Syarikat Al, Haji T M Badurudeen pagi tadi juga memberikan sumbangan kepada mereka memerlukan di Pasar Raya TM Majeed, Kampung Kilanas.
Inisiatif yang diadakan buat kali ke-17 itu menyaksikan 80 orang terdiri daripada fakir, miskin, anak-anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan yang bermastautin di Mukim Kilanas menerima sumbangan keperluan harian.
Sumbangan disampaikan oleh Ketua Kampung Kilanas, Awang Ameerolbahrynee bin Haji Abdul Hamid dan Pengurus Kumpulan TM Majeed, Ferose Khan.
Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan doa selamat dan kesyukuran dipimpin oleh Haji Kamaluddin bin Haji Abdul Rahim.
Sementara itu, keceriaan jelas terpancar pada wajah anak-anak yatim dan anak-anak yang memerlukan di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, Mentiri apabila mengunjungi taman permainan tertutup yang disumbangkan oleh Arno Zoey Wonderland di MidValley, baru-baru ini.
Selain berpeluang berhibur di taman berkenaan, seramai 50 anak-anak yatim dan anak-anak dari golongan yang memerlukan turut menerima sampul yang disampaikan oleh Pengurus Syarikat Ben Lines Sdn Bhd, Therry Can Verden.
Turut hadir di acara itu ialah Ketua Kampung Kawasan 2, RPN Panchor, Mentiri Haji Mohd Eddie Hardey bin Haji Ibrahim serta beberapa orang ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kawasan 2 RPN Panchor, Mentiri bagi sesi 2024-2028.