Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Seramai 75 orang kanak-kanak telah menerima sumbangan wang tunai dan baucar bagi kegunaan persediaan persekolahan sesi 2024 pada majlis anjuran Hotel Al-Afiah dan Kafe Al-Afiah, baru-baru ini.
Penerima sumbangan berkenaan terdiri daripada 34 orang kanak-kanak yang berdaftar di bawah pengendalian Perkhidmatan Kebajikan Perubatan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), 30 orang kanak-kanak yang berdaftar di bawah Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), enam orang dari Sekolah Riverside cawangan Kampung Masin dan lima orang kanak-kanak daripada keluarga kaki-tangan Hotel Al-Afiah.
Sumbangan telah disampaikan oleh Pengerusi Hotel Al-Afiah dan Pengarah Urusan Yusof dan Aminah Properties, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof serta ahli-ahli Lembaga Pengarah Hotel Al-Afiah dan Yusof dan Aminah Properties.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hotel berkenaan, majlis bertujuan untuk meringankan beban mereka dalam membuat persediaan peralatan dan pakaian persekolahan sesi 2024 di samping membantu menjamin kehidupan mereka ke arah meneruskan pembelajaran persekolahan.
Ia merupakan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan tahunan bagi meringankan bebanan mereka yang memerlukan bantuan dan kurang berkemampuan.


