Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Usaha Kementerian Kesihatan yang sedang menangani situasi jangkitan COVID-19 terus mendapat perhatian dan sokongan daripada semua pihak termasuk perwakilan dari negara-negara sahabat dan pihak swasta di Negara Brunei Darussalam yang sama-sama tampil ke hadapan untuk menghulurkan sumbangan sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka untuk sama-sama menangani wabak berkenaan.
Turut tampil menghulurkan sumbangan ialah Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam dan PTAS Sdn Bhd yang menyampaikan sumbangan mereka pada majlis yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Hadir untuk menerima sumbangan berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam menghulurkan sumbangan berjumlah $9,500 yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Naib Marsyal Udara (B) Mahmud Hussain.
Sementara itu, PTAS Sdn Bhd menyampaikan sumbangan berjumlah $50,000 yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Haji Amir bin Haji Osman.
Manakala itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menyampaikan sumbangan berupa buku zikir dan doa-doa sebanyak 1,200 naskhah di mana sumbangan disampaikan oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Amir Hisyam bin Haji Masri kepada Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Haji Othman.
Sumbangan buku zikir dan doa-doa berkenaan adalah untuk diberikan kepada pesakit-pesakit di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Pusat Pengasingan Kebangsaan Tutong dan individu-individu yang menjalani pengasingan diri di fasiliti pengasingan diri serta di rumah.
Turut menghulurkan sumbangan, hari ini, ialah Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) yang menyumbangkan sebanyak 400 pasang baju Scrubs bagi kegunaan petugas barisan hadapan dalam majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.
Hadir untuk menerima sumbangan berkenaan bagi mewakili Kementerian Kesihatan ialah Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Dayang Sufinah binti Haji Serudin dan disampaikan oleh ahli Pemegang Amanah Pusat Ehsan, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Ketua Pentadbiran Pusat Ehsan, Dayang Nurul Huda binti Haji Muhin dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Pusat Ehsan, Pauline Chew.
Pada majlis itu juga, Boustead Sdn Bhd menyampaikan sumbangan berupa 100 karton air mineral dan 40 karton biskut yang disampaikan oleh Pengurus Pemasaran Boustead Sdn Bhd, Alvin Khoo.
Turut menyampaikan sumbangan ialah Sabec Sdn Bhd berupa 100 karton Saudia Whole Milk yang disampaikan oleh Pengurus Sabec Sdn Bhd, Pengiran Mokim bin Pengiran Haji Minudhin dan Pengarah Sabec Sdn Bhd, Mohammed Shahabas Ghan.