Wednesday, January 1, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sumbangan baucar PSW bantu persekolahan 30 anak-anak

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS -Seramai 30 penerima yang terdiri daripada 14 anak yatim dan 16 anak-anak dalam kalangan keluarga yang memerlukan telah menerima baucar keperluan sekolah mereka di Majlis Penyerahan Sumbangan menerusi Projek Kotak Kutip (Dropbox) bagi tahun 2024 hari ini.

    Ini adalah sebagai usaha membantu anak-anak yatim dan keluarga yang memerlukan dalam persediaan musim persekolahan bagi tahun 2025 yang dikendalikan oleh Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam (PSW) dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kawasan 2 RPN Panchor.

    Majlis yang berlangsung di kompleks perniagaan di Kampung Kiulap dihadiri oleh Yang Dipertua PSW, Hajah Dayang Hassanah binti Haji Awang Hassan selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sumbangan tersebut.

    Turut hadir, Panel Penasihat PSW, Pengiran Hajah Zabaidah binti Pengiran Haji Kamaludin dan Dr Hajah Hairuni binti Haji Mohamed Ali Maricar, serta beberapa ahli Jawatankuasa Tadbir PSW.

    Juga turut hadir pada majlis tersebut adalah Pemangku Penghulu Mukim Mentiri dan Ketua Kampong Kawasan 2 RPN Panchor, Mentiri, Haji Awang Mohamad Eddie Hardey bin Haji Awang Ibrahim; Ketua Biro Wanita MPK Kawasan 2 RPN Panchor, Mentiri, Pengiran Marliza binti Pengiran Haji Omar serta wakil-wakil daripada MPK Kawasan 2.

    Sumbangan berupa baucar berkenaan adalah hasil sumbangan daripada ahli PSW, sahabat, dan keluarga melalui Tabung Selamatkan Anak-Anak Kitani PSW.

    Selain itu, turut menghulurkan sumbangan adalah Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Ketua Kampong Kawasan 2 RPN Panchor dan keluarga serta ahli-ahli MPK Kawasan 2, Ar-Rizqi Enterprise dan beberapa penyumbang persendirian.

    Projek ini adalah sebahagian daripada Projek Kotak Kutip (Drop Box) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2010, dengan tujuan untuk memberi kemudahan kepada orang ramai untuk menyampaikan sumbangan seperti pakaian terpakai dan keperluan sekolah kepada golongan yang memerlukan.

    PSW berharap agar projek seperti ini dapat meringankan beban keluarga penerima dan memupuk kerjasama yang lebih erat antara badan bukan kerajaan dengan masyarakat setempat.

    PSW, yang ditubuhkan pada 5 Februari 1990, adalah sebuah organisai bukan kerajaan yang telah 34 tahun aktif dalam khidmat masyarakat.

    Semua di atas: Hajah Dayang Hassanah menyampaikan sumbangan kepada antara penerima sumbangan berkenaan
    Gambar ramai tetamu kehormat, ahli-ahli PSW dan penerima sumbangan pada majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda