Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sumbangan buku tanda persahabatan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, hari ini telah menerima sumbangan beberapa bahan bacaan berupa koleksi buku-buku Islam yang tinggi nilainya daripada Kedutaan Negara Qatar di Negara Brunei Darussalam.

    Koleksi buku-buku tersebut merangkumi nilai budaya dan sejarah yang kaya di samping perundangan Islam, yang mana sumbangan itu juga sebagai tanda persahabatan dan pertukaran budaya antara kedua-dua buah negara.

    Buku-buku berkenaan telah disampaikan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Qatar ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Jassim Ali Abdullah Al-Obaidli pada majlis yang berlangsung di Bilik Dhiyafah, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis.

    Terdahulu, Yang Berhormat Pehin telah menerima kunjungan hormat daripada TYT Jassim Ali Abdullah Al-Obaidli.

    Hadir sama ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh, dan Pengarah Pengajian Islam, KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar.

    Negara Brunei Darussalam dan Qatar telah memeterai beberapa perjanjian kerjasama dan memorandum persefahaman untuk memperkukuhkan lagi kerjasama.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin menerima koleksi buku Islam dari TYT Jassim Ali Abdullah Al-Obaidli. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda