Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sumbangan buku tingkatkan hubungan, galak budaya membaca

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Dalam usaha untuk memperkukuhkan hubungan dua hala serta meningkatkan kefahaman masyarakat Brunei mengenai Republik Islam Pakistan, Suruhanjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Negara Brunei Darussalam menyumbangkan sebanyak 64 naskhah buku yang merangkumi pelbagai topik seperti sejarah dan kebudayaan.

    Sehubungan dengan itu, majlis penyerahan sumbangan buku daripada Suruhanjaya Tinggi Republik Islam Pakistan diadakan di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Muara, hari ini.

    Sumbangan buku-buku berkenaan telah disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Janbaz Khan kepada Pengetua Pusat Sejarah Brunei selaku Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.

    Pada majlis berkenaan, Dr Haji Muhammad Hadi turut menyempurnakan perasmian Sudut Bacaan Tamadun Lembah Indus yang merupakan satu daripada perkhidmatan yang ditawarkan oleh Perpustakaan DBP dalam usaha untuk memupuk minat membaca dan cintakan buku.

    Sumbangan buku-buku berkenaan diharap akan dapat memperkayakan sumber bacaan mengenai Republik Islam Pakistan di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka dan seterusnya membolehkan masyarakat serta pengguna perpustakaan untuk mengenali dan memahami negara berkenaan.

    Selain itu, ia juga sebagai satu usaha untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Brunei Darussalam.

    Setakat ini, DBP memiliki koleksi buku dari Amerika Syarikat, Rusia, Kesultanan Oman, Republik Rakyat China, India, Republik Turkiye, Malaysia, Bangladesh dan Ukraine.

    Dengan adanya sumbangan buku itu, diharap akan dapat memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala antara Suruhanjaya Tinggi Republik Islam Pakistan dengan Negara Brunei Darussalam.

    Dr Haji Muhammad Hadi diberikan penerangan oleh TYT Janbaz Khan mengenai buku-buku yang terdapat di dalam Sudut Bacaan Tamadun Lembah Indus. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Dr Haji Muhammad Hadi menghadiri majlis yang berlangsung di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Muara, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda