Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Bagi meraikan anak-anak yatim sempena Hari Raya Aidilfitri, seramai 63 orang anak-anak yatim di sekitar Kampung Manggis dan Madang serta Kampung Lambak Berakas hari ini menerima sumbangan derma.
Anak-anak yatim yang menerima sumbangan adalah terdiri daripada 26 orang dari Kampung Lambak Berakas dan 37 orang dari Kampung Manggis dan Madang.
Majlis itu juga diselajurkan dengan Majlis Ramah Mesra Hari Raya yang diadakan hari ini bertempat di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang.
Majlis dimulakan dengan solat Fardu Asar berjemaah dan bacaan Tahlil.
Sumbangan derma disampaikan oleh tetamu kehormat, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit.
Derma berkenaan merupakan sumbangan daripada Syarikat Serikandi dan juga daripada orang-orang perseorangan.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Leftenan Kolonel (B) Haji Mohd Said bin Haji Mohd Saidin selaku pengerusi majlis.
Juga hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Berakas B, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon; Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat-syarikat Serikandi, Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad Alhijazi; ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit dan anak-anak yatim yang diraikan.
