Thursday, January 23, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sumbangan derma ukir senyuman anak yatim pada bulan Ramadan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Kedatangan bulan Ramadan memang amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam, kerana bulan Ramadan merupakan bulan penuh keberkatan yang mempunyai keistimewaan dan kelebihannya sehingga ia dikenali sebagai penghulu segala bulan.

    Tidak kira golongan tua atau muda, bulan ini adalah sebagai medan bagi menambahkan pahala dan meraih ganjaran hebat yang dijanjikan Allah SWT. Selain itu, ia menjadi landasan terbaik bagi mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga dan masyarakat.

    Bulan Ramadan juga merupakan peluang untuk berkumpul bersama ibu dan ayah serta keluarga bagi menjalani ibadah puasa, bersahur dan sembahyang sunat Tarawih ke masjid atau di rumah.

    Akan tetapi, segala kemesraan dan keseronokan menyambut bulan rahmat ini di samping insan bergelar ibu dan ayah tidak mungkin dapat dirasai bagi mereka yang tergolong dalam kalangan anak yatim piatu. 

    Sehubungan itu, Kementerian Kebu-dayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hari ini telah menyampaikan derma kepada 3,807 anak-anak yatim yang berdaftar di bawah JAPEM.

    Dayang Nur Raihanimah bergambar bersama anak-anak beliau, Awangku Muhd Nur Faiq Eazien dan Awangku Muhd Nur Adam Izz Rayyan semasa majlis berkenaan.
    Dayang Nurul Nazerah bergambar bersama anak beliau, Dayang Nur Reshalleeyana Nazwin semasa majlis berkenaan.
    Awang Muhammad Syafiq Aiman merupakan salah seorang penerima dalam skim berkenaan.
    Awang Muhammad Nursyarifuddin semasa di temu bual pada majlis berkenaan.

    Di samping penyampaian sumbangan untuk bulan Ramadan dan Syawal, BIBD turut menyampaikan Skim Galakan Pelajar Cemerlang BIBD kepada anak-anak yatim yang mendapat keputusan cemerlang.

    Bulan pembawa rezeki

    Istimewanya, di sebalik ketiadaan ahli keluarga tercinta sepanjang menjalankan ibadah berpuasa itu, terselit seribu hikmah yang dikurniakan Allah SWT kepada golongan ini.

    Mereka mungkin tidak dapat mengenal erti kasih dua insan yang bergelar ibu dan ayah, tetapi golongan anak yatim piatu ini tidak pernah putus dilimpahi rasa sayang daripada dermawan daripada pelbagai pihak. 

    Ada sahaja yang tampil menghulurkan bantuan dan boleh dikatakan Ramadan merupakan bulan pembawa rahmat dan rezeki kepada golongan ini dan tidak ada langsung istilah dipinggirkan. 

    Malahan, golongan inilah yang paling meriah diraikan setiap kali tibanya bulan Ramadan dan Syawal sama ada anjuran syarikat swasta, jabatan kerajaan mahupun individu berkemampuan.

    Kebanyakannya berlumba-lumba melakukan kebajikan seperti memperbanyakkan amalan bersedekah itu kerana balasan dan pahala yang bakal diperoleh amat besar. 

    Ia sepertimana disebutlah dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi yang bermaksud, “Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan.” 

    Berasa syukur

    Sementara itu, temu bual media dengan beberapa orang anak yatim yang datang bersama ibu dan penjaga mereka rata-rata melahirkan rasa syukur dan terima kasih dengan sumbangan yang diberikan oleh pihak-pihak berkenaan.

    Dayang Nur Raihanimah binti Haji Abdul Amin, ibu kepada Awangku Muhd Nur Faiq Eazien bin Pengiran Haji Yahya, 17, dan Awangku Muhd Nur Adam Izz Rayyan bin Pengiran Haji Yahya, 9 menyatakan, sumbangan seumpama ini adalah kali kedua di terima yang mana kali pertama pada tahun 2022.

    Dayang Nur Raihanimah ketika ditemui menjelaskan, sumbangan yang diterima ini seperti tahun sebelum akan digunakan untuk keperluan anak-anak bagi bulan Ramadan dan persiapan Syawal nanti.

    Manakala Dayang Nurul Nazerah binti Omar, ibu kepada Dayang Nur Reshalleeyana Nazwin binti Abdul Rahim, 15, mengucapkan terima kasih kepada pihak KKBS atas sumbangan yang diberikan.

    Selain menerima sumbangan seumpama ini, ada juga pihak yang prihatin memberikan sumbangan dalam beberapa acara keagamaan semasa bulan Ramadan ini.

    Pemangkin untuk terus berusaha

    Selain pemedulian yang diberikan bagi kesejahteraan dan kebajikan anak-anak yatim, bidang pendidikan anak-anak yatim juga sentiasa diberikan sokongan untuk mereka agar terus maju dan berjaya dalam pembelajaran.

    Skim Hadiah Galakan Pelajar Cemerlang BIBD merupakan salah satu pendorong kepada anak-anak yatim untuk terus berusaha bagi mencapai kejayaan yang mana pada majlis penyampaian sumbangan anak-anak yatim itu, seramai 14 orang anak-anak yatim yang telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam Peringkat O, Peperiksaan Sekolah Rendah (PSR) dan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) pada tahun 2022 telah menerima hadiah Skim Hadiah Galakan Pelajar Cemerlang BIBD.

    Temu bual media dengan dua orang penerima skim berkenaan, melahirkan rasa syukur dengan hadiah yang diterima dan berjanji akan terus berusaha hingga mencapai kejayaan yang boleh mengembirakan ibu dan orang terdekat.

    Awang Muhammad Syafiq Aiman bin Sukarni dari Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah melahirkan perasaan bersyukur apabila diumumkan sebagai salah seorang penerima dalam skim berkenaan.

    Manakala Awang Muhammad Nursyarifuddin bin Samsul pelajar dari Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah berkongsi persiapan yang dilakukan sebelum peperiksaan.

    Menurutnya, persiapan bagi peperiksaan SPUB itu lebih banyak kepada hafalan dan yang paling penting adalah memohon doa daripada orang tua agar diberikan kelancaran semasa menjawab soalan peperiksaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda