Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China mempunyai hubungan persahabatan dan kerjasama erat yang terjalin sekian lama di mana hubungan persahabatan berkenaan terus diperkukuhkan dengan sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) daripada Republik Rakyat China.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dan Kementerian Kesihatan telah menerima PPE berkenaan yang disumbangkan oleh Republik Rakyat China melalui Nanjing Municipal People’s Government, Syarikat Nanjing Chemical Construction Co Ltd dan Syarikat NJNCC (B) Sdn Bhd pada majlis yang diadakan di Bangunan KHEDN, hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan untuk menerima sumbangan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, dengan sumbangan disampaikan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong.
Sumbangan itu dihasratkan akan dapat membantu Kementerian Kesihatan serta NDMC melaksanakan tugas-tugas hariannya dalam pengurusan menangani penularan COVID-19 di negara ini dan untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan petugas yang berada di barisan hadapan iaitu bukan-klinikal dalam beberapa operasi bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.
KHEDN bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penderma-penderma yang terdiri daripada agensi kerajaan dan beberapa syarikat korporat dari Republik Rakyat China berkenaan yang telah memberikan sumbangan ikhlas bagi sama-sama membantu langkah-langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Antara barangan yang disumbangkan pada majlis berkenaan ialah sebanyak 50,000 unit pelitup muka dan 1,000 gaun pelindung yang disumbangkan oleh Nanjing Municipal People’s Government serta sebanyak 41,000 unit pelitup muka, 10,000 sarung tangan, 5,000 unit gaun pelindung dan 5,000 pelindung muka yang disumbangkan oleh Syarikat Nanjing Chemical Construction Co Ltd dan NJNCC (B) Sdn Bhd.
Sebelum sumbangan tersebut tiba di Negara Brunei Darussalam, upacara penyerahan juga diadakan di Bandar Nanjing, Republik Rakyat China pada 7 September lalu dan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri, Nanjing Municipal People’s Government, Nanjing Jiangbei Area, Nanjing Chemical Construction Co Ltd serta Nanjing Municipal Bureau of Commerce.
Sumbangan dari Republik Rakyat China itu merupakan hasil daripada jalinan persahabatan mendalam di antara kedua-dua buah negara.
Ia juga menunjukkan sokongan berterusan daripada Republik Rakyat China kepada usaha Brunei untuk menangani penularan wabak COVID-19 yang mana pihak Nanjing Municipal People’s Government dan syarikat Nanjing Chemical Construction Co Ltd juga pernah menyumbang pelbagai barangan PPE sebelum ini pada April 2020 semasa gelombang pertama penularan wabak COVID-19 pada tahun lepas.
Hubungan persahabatan antara Bandar Seri Begawan dengan Nanjing, Republik Rakyat China telah dapat dipertingkatkan sejak 2011 apabila kedua-dua bandar raya itu menjalin hubungan sister-city setelah menandatangani Memorandum of Understanding For Establishing Sister Cities Between Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam and Nanjing, People’s Republic of China yang telah ditandatangani di hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Premier of State Council Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Wen Jiabao pada 21 November 2011.