Oleh Daniel Lim
BELAIT, 10 MEI – Dalam memperingati dan meraikan Hari Raya Aidilfitri, Sakam & Kawan International Travels and Tours Sdn Bhd telah menyumbangkan beberapa barangan keperluan kepada mualaf dan penduduk Rumah Panjang Teraja Labi, kelmarin.
Hadir bagi menyempurnakan penyerahan tersebut bagi pihak syarikat ialah Pemangku Ketua Kampung Labi 2, Awang Muhd Nurazmi bin Haji Mustapa dan telah diterima oleh Ketua Biro Wanita rumah panjang, Dayang Embong Munah serta bendahari jawatankuasa rumah panjang, Awang Mohd Fadillah bin Abdullah Jamit.
Sumbangan berkenaan merupakan kali kedua syarikat tersebut serahkan kepada rumah panjang sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan mereka untuk meringankan beban dan memeriahkan lagi suasana perayaan di rumah panjang tersebut, terutama dalam kalangan saudara baharu yang menyambut Hari Raya yang sedang berlangsung di rumah panjang berkenaan.
Selain itu, ia juga untuk mengeratkan lagi hubungan antara syarikat dengan penduduk luar bandar, dan memberikan kepakaran mereka dalam membimbing pelancong dan pelawat berasa selamat sambil menikmati pemandangan indah serta pengalaman yang ditawarkan di kawasan luar bandar Belait.
