Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 17 FEB – Dalam usaha terus memupuk semangat kesukanan menjelang kejohanan bola sepak, Pasukan Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong, baru-baru ini, telah menerima sumbangan jersi bola sepak dengan majlis penyerahannya berlangsung di Dewan Mesyuarat Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong.
Jersi bola sepak berkenaan telah ditaja oleh Awang Abdul Adib bin Haji Khani yang diserahkan kepada Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Haji Mohd Aidil Soffian bin Mohd Yassin.
Dalam perkongsian bersama Media Permata, Awang Abdul Adib antaranya menjelaskan dengan penglibatan kerajaan dan masyarakat melalui sukan bola sepak sudah tentunya dapat mengeratkan silaturahim sesama pemain daripada pasukan-pasukan yang beraksi nanti.
Di samping itu, penglibatan aktif itu juga secara tidak langsung akan menjadi platform untuk terus mencungkil bakat muda dalam bidang sukan bola sepak untuk ke peringkat negara.
Pasukan Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong bakal menyertai kejohanan bola sepak tujuh orang sepasukan bagi warga masjid dan pasukan jemputan sebagai salah sebuah program aktiviti anjuran bersama Masjid Kampung Telisai, Majlis Perundingan Kampung Telisai dan Persatuan Ikatan Melayu Telisai Tutong.
