Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sumbangan lancarkan usaha bendung penularan

    Oleh Yusrin Junaidi & Nurdiyanah R

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Keprihatinan rakyat dan penduduk di negara ini terhadap usaha yang dilakukan pihak kerajaan dalam membendung penularan wabak COVID-19 dapat dilihat dengan sumbangan-sumbangan yang dihulurkan secara berterusan oleh pelbagai pihak.

    Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Brunei Darussalam, hari ini, telah menerima sumbangan sebuah kereta daripada Grand Motors Sdn Bhd bagi menyokong persatuan berkenaan dalam memberi bantuan kepada Kementerian Kesihatan.

    Sumbangan kereta Kia Carnival berkenaan telah diserahkan oleh Pengurus Projek Khas, Grand Motors Sdn Bhd, Mejar (B) Ramlie bin Mohd Arrif kepada Ahli Kehormat PBSM, Haji Mohd Yusri bin Haji Wahsalfelah pada majlis yang diadakan di kawasan luar bangunan Bilik Pameran Kia Brunei, Perindustrian Beribi II.

    Presiden PBSM Brunei Darussalam, Haji Mohd Suhaimi bin Haji Ibrahim ketika ditemui pada majlis itu berkata, kereta berkenaan adalah untuk membantu pihak Kementerian Kesihatan dalam menyediakan pengangkutan bagi keluarga atau individu yang menjalani kuarantin di rumah ataupun di mana-mana pusat kuarantin.

    Kereta berkenaan juga akan digunakan untuk pengangkutan pesakit COVID-19 dari rumah ke Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC), Tutong atau di mana-mana tempat pengasingan yang telah ditetapkan.

    Mejar (B) Ramlie menyempurnakan penyerahan sumbangan berupa sebuah kereta kepada Haji Mohd Yusri di luar bangunan Bilik Pameran Kia Brunei, kelmarin.
    Belia-belia Tutong bersama bungkusan makanan dan minuman yang hendak diberikan kepada petugas dan orang ramai di Dewan Seri Kenangan, Daerah Tutong, baru-baru ini.
    Lim Tiong Han menunjukkan hasil kutipan yang dikumpulkan untuk membantu menampung keperluan pusat pengasingan dan pihak barisan hadapan COVID-19.

    Menurut beliau, ia adalah salah satu komitmen pihak persatuan untuk membantu kementerian dalam menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.

    Haji Mohd Suhaimi turut menyatakan bahawa ini bukan kali pertama mereka menerima sumbangan kereta, yang mana sebelum ini pihak persatuan juga telah menerima dua buah kereta daripada Premier Motors Sdn Bhd untuk kegunaan yang sama.

    Dalam pada itu, Dewan Perniagaan Tiong Hua Bandar Seri Begawan juga tidak ketinggalan mengambil inisiatif untuk memberi sumbangan dalam sama-sama membendung penularan wabak. Persatuan berkenaan telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak $26,293 untuk menampung keperluan pusat pengasingan dan pihak barisan hadapan COVID-19.

    Presiden persatuan itu, Lim Tiong Han @ Lim Peh Beng berkata, beliau amat menghargai sumbangan yang diberikan oleh ahli-ahli persatuan dan berharap dengan adanya sumbangan berkenaan akan dapat membendung dan melancarkan operasi bantuan yang diberikan oleh pihak barisan hadapan COVID-19.

    Di Daerah Tutong, kumpulan belia-belia tidak ketinggalan bangkit bersatu menjalankan kerja amal menerusi sumbangan makanan dan minuman kepada para petugas barisan hadapan dan orang ramai semasa program suntikan vaksinasi di Dewan Seri Kenangan, Daerah Tutong, baru-baru ini.

    Sumbangan lebih 400 pek bungkusan itu telah diungkayahkan oleh gabungan belia dan beliawanis daerah berkenaan antaranya terdiri daripada Pengusaha Lamin Warisan, Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Tutong, sumbangan peribadi ahli-ahli keluarga serta pemilik kedai runcit.

    Salah seorang wakil belia, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan meluahkan perasaan kesyukuran atas gabungan usaha kerja amal para belia dan beliawanis di daerah berkenaan untuk sama-sama menyumbang bakti kepada negara, lebih-lebih lagi dalam negara menghadapi krisis kesihatan yang semakin membimbangkan ini.

    “Berbekalkan kudrat kesihatan pinjaman Illahi ini, inilah masanya kita sebagai belia negara tampil menggenggam amanah sukarelawan demi membantu pihak kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi yang berkepentingan, di samping menyemai sikap mematuhi langkah prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang telah ditekankan selama ini,” ujarnya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda