Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Hubungan dua hala dan persahabatan antara Negara Brunei Darussalam dan Kemboja terus berkembang serta diperkukuhkan menerusi pelbagai pertukaran dua hala termasuk perdagangan, pendidikan, belia, kebudayaan dan sukan.
Hubungan erat kedua-dua buah negara itu, terus menjadi mesra hasil daripada inisiatif dan peranan yang dimainkan oleh Duta Besar Kemboja ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ouk Chandara sejak pelantikannya pada 25 Oktober 2016.
Perkara itu dinyatakan oleh Duta Besar Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam selaku Dekan Kor Diplomatik, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil bin al-Maskari ketika berucap pada Majlis Makan Tengah hari Perpisahan bagi Duta Kemboja ke Negara Brunei Darussalam, yang menamatkan perkhidmatannya, di Empire Hotel and Country Club, Jerudong, kelmarin.
TYT Sheikh Ahmed bagi pihak Kor Diplomatik turut menyatakan penghargaan kepada TYT Ouk Chandara atas sumbangannya kepada usaha untuk mengeratkan hubungan dua hala antara Kemboja dan Brunei seperti aktiviti pertukaran kebudayaan bagi mengeratkan lagi hubungan di antara golongan belia kedua-dua buah negara serta dalam bidang ekonomi kedua-dua buah negara.
Sementara itu, TYT Ouk Chandara menyatakan bahawa sepanjang perkhidmatannya di Brunei, hubungan persahabatan dan kerjasama antara Brunei dan Kemboja terus diperkukuhkan dan dipertingkatkan dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan, pertahanan dan pelancongan serta juga pertukaran lawatan pegawai peringkat tinggi kedua-dua buah negara.
Beliau berkata bahawa kedua-dua buah negara bekerjasama baik dalam pelbagai bidang termasuk pelancongan dan perdagangan di mana jumlah warga Brunei yang melawat ke Kemboja terus meningkat dari tahun ke tahun.
Pelancong serta pelabur yang datang untuk melawat Kemboja amat berminat untuk melakukan perniagaan di Kemboja kerana keamanan dan kestabilan politik di negara itu.
TYT Ouk Chandara berkata lagi bahawa Brunei dan Kemboja juga telah menandatangani perjanjian bagi beras import di mana Kemboja mengeksport beras berkualiti tinggi ke Brunei dan pada 2018, lebih 16,000 tan beras dari Kemboja telah diimport ke Brunei yang menunjukkan bahawa perdagangan beras antara Brunei dan Kemboja telah meningkat.
