Sumbangan pelbagai pihak terus diterima

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Kementerian Kesihatan terus menerima pelbagai sumbangan daripada pelbagai pihak yang prihatin dalam sama-sama membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyatakan bahawa kementerian berkenaan telah menerima cek berjumlah $12,500 daripada Christian Fellowship Centre of Brunei dan cek berjumlah $5,000 daripada Sang Jati Golf Group bagi Tabung Bantuan COVID-19 2021.

Kenyataan menyatakan, kementerian berkenaan juga menerima sumbangan daripada 11 penyumbang yang terdiri daripada syarikat swasta dan penyumbang perbadi pada 9 Oktober lalu.

Penderma-penderma berkenaan ialah T.L.T. Enterprise yang menyumbangkan air minum botol; F&N Marketing (B) Sdn Bhd menyumbangkan minuman isotonik; Hajah Arni menyumbangkan pelitup muka; Hajah Kartinah binti Haji Abu Bakar menyumbangkan minuman ringan, mi segera, pelbagai jenis biskut dan makanan ringan; Beverages by Wafi menyumbangkan air mineral; hamba Allah menyumbangkan tuala mandi; Home Skool menyumbangkan kit aktiviti dan snek; Ummah Gear Brunei menyumbangkan pelitup muka; sekumpulan penyumbang yang terdiri daripada Ekamjot Sdn Bhd, Dato Lee Nyuk On, Koo Cong Loi, Pengiran Haji Haris bin Pengiran Abdul Rahman, Tian Eng Ng dan Han Wan Kwang pula menyumbangkan alas kaki; Wu Chun dan keluarga menyumbangkan sut PPE, pelindung muka dan alas kasut serta The Empire Brunei menyumbangkan bantal.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu lagi, menyatakan bahawa orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan, boleh berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.

Sumbangan cek berjumlah $5,000 kepada Tabung Bantuan COVID-19 2021 yang disumbangkan oleh Sang Jati Golf Group.
Hajah Kartinah bergambar bersama sumbangan berupa makanan dan minuman ringan serta mi segera.