Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Sebagai usaha untuk menyokong pendidikan para pelajar dan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya, Megamas Training Company menyumbangkan sebanyak 30 buah kerusi dan meja kepada Sekolah Chung Hwa Kiudang, baru-baru ini.
Majlis penyampaian sumbangan berkenaan telah diadakan di premis Megamas Training Company, Kuala Belait di mana sumbangan disampaikan oleh Timbalan Pengurus Besar Megamas Training Company, Haji Mahmud bin Haji Idris kepada Pengetua Sekolah Chung Hwa Kiudang, Loo Shee Yun.
Pada majlis berkenaan, Loo Shee Yun juga menyampaikan cenderahati kepada Haji Mahmud sebagai tanda penghargaan atas sokongan serta sumbangan yang dihulurkan kepada pelajar sekolah berkenaan.
Sumbangan itu bukan sahaja melambangkan kerjasama komuniti yang menyediakan perabot bagi sekolah berkenaan tetapi juga memupuk hubungan yang erat antara pihak sekolah dengan komuniti peniagaan tempatan.
Sumbangan daripada Megamas Training Company akan dapat memberikan impak yang positif kepada pelajar sekolah tersebut dengan meningkatkan lagi persekitaran pembelajaran serta memastikan keselesaan mereka semasa melaksanakan aktiviti pendidikan.